HomeUtamaKematian pelancong di Pulau Mengalum: Jangan buat kesimpulan awal – Jafry

Kematian pelancong di Pulau Mengalum: Jangan buat kesimpulan awal – Jafry

Read Time:3 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Sebarang kesimpulan berkaitan punca kematian seorang pelancong China di Pulau Mengalum pada 23 September lalu perlu dielakkan sehingga siasatan polis dan pengesahan agensi berkaitan selesai.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, semua persoalan berhubung keselamatan, pelesenan, status tanah dan operasi pelancongan di pulau itu perlu dibezakan antara perkara yang sudah disahkan dengan perkara yang masih dalam siasatan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal Polis Kota Kinabalu, mangsa wanita warga China berusia 30-an itu adalah antara 17 pelancong yang berkunjung ke Pulau Mengalum.

Katanya, mangsa dilaporkan melakukan aktiviti snorkeling kira-kira 15 minit di perairan sedalam kira-kira 1.5 meter sebelum seorang kru bot yang memantau pelancong menyedari mangsa terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke darat dan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) diberikan, namun tidak memberikan tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pegawai forensik polis tidak menemui sebarang petunjuk unsur jenayah di lokasi kejadian, keterangan saksi turut direkodkan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jafry berkata, berdasarkan keadaan itu, siasatan polis perlu diberi ruang untuk menentukan keadaan serta punca kematian sebelum sebarang kaitan dibuat dengan aspek lain berkaitan operasi pelancongan di Pulau Mengalum.

“Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk mengaitkan kejadian berkenaan dengan status mana-mana lesen, tanah, Lesen Pendudukan Sementara (TOL), struktur atau kemudahan apabila tiada hubungan sedemikian telah ditetapkan oleh pihak berkuasa penyiasat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara berkaitan pematuhan peraturan dan aspek keselamatan tetap perlu disemak secara menyeluruh.

Menurutnya, KePKAS akan berhubung dengan agensi berkaitan bagi mengesahkan status pematuhan pengendali, vesel, aktiviti pelancongan dan kemudahan yang terlibat dalam insiden itu.

Semakan itu, katanya, termasuk kesahan lesen dan kelulusan, pematuhan prosedur keselamatan, ketersediaan peralatan keselamatan, pemberian taklimat keselamatan, tahap pemantauan serta pelaksanaan prosedur tindak balas kecemasan.

Jafry berkata, bidang kuasa berkaitan operasi pelancongan juga melibatkan beberapa agensi dan perundangan.

Katanya, pelesenan perniagaan pengendali pelancongan dan agensi pelancongan berada di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), manakala aspek vesel dan maritim, kelulusan pihak berkuasa tempatan serta urusan tanah tertakluk kepada pihak berkuasa masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, persoalan mengenai status tanah dan TOL di Pulau Mengalum turut perlu disahkan berdasarkan rekod rasmi.

Katanya, Warta Kerajaan Negeri Sabah merekodkan kawasan seluas 93.786 hektar Tanah Kerajaan di Pulau Mengalum telah diisytiharkan sebagai rizab bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan di bawah Seksyen 28 Ordinan Tanah.

“Bagaimanapun, kewujudan rizab tersebut tidak dengan sendirinya menentukan status undang-undang tapak tertentu, lokasi pendaratan atau kemudahan pelancongan yang terlibat dalam kejadian pada 23 September lalu,” katanya.

Jafry berkata, sebarang TOL, struktur atau kemudahan perlu disemak dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta pihak berkuasa berkaitan sebelum statusnya ditentukan.

“Kita tidak seharusnya mengisytiharkan sesuatu TOL sebagai tidak sah, struktur sebagai haram atau operasi sebagai tidak dibenarkan sehingga agensi yang menyimpan rekod berkaitan mengesahkan fakta sebenar,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan bertujuan melindungi mana-mana pengendali atau agensi, sebaliknya memastikan setiap tindakan dibuat berdasarkan fakta dan bidang kuasa yang sah.

“Begitu juga, sesuatu tragedi tidak seharusnya digunakan untuk mencapai kesimpulan sebelum siasatan dan pengesahan rasmi selesai,” katanya.

Jafry berkata, jika terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat lesen yang disahkan, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya.

Pada masa sama, katanya, sekiranya kelemahan sistem atau prosedur dikenal pasti, penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Keutamaan kita adalah untuk menentukan fakta, melindungi pengunjung dan terus memperkukuh keyakinan terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

KePKAS, katanya, akan terus menyelaras dengan agensi berkaitan dan memberikan maklumat lanjut selepas proses pengesahan rasmi diperoleh.

Jafry turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kehilangan seorang pengunjung di Sabah sebagai sesuatu yang amat dikesali.

RELATED ARTICLES
Utama

Takwim Jualan Rahmah diperluas, maklumat dipamer di lokasi awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular