PAPAR: Berjaya Corporation Berhad menyumbangkan sebuah bas coaster 28 tempat duduk kepada SMK St. Joseph, Papar menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan melalui Berjaya Cares Foundation (BCF).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sumbangan itu bermula daripada hasrat Berjaya Corporation Berhad untuk melaksanakan program CSR di sebuah sekolah di Papar.
Katanya, beliau mencadangkan SMK St. Joseph sebagai penerima sumbangan berkenaan memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memilih SMK Benoni sebagai Sekolah Angkat MADANI bagi tahun 2026.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi Program Sekolah Angkat MADANI yang menggalakkan kerjasama strategik antara Kerajaan, sektor korporat dan komuniti dalam memenuhi keperluan sekolah serta memperkasa potensi murid.
“Dengan adanya kemudahan pengangkutan yang lebih teratur, pihak sekolah dapat membawa pelajar menyertai lawatan pendidikan, pertandingan dan pelbagai program di luar sekolah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Armizan berkata, peluang berkenaan dapat membantu meluaskan pengalaman pelajar, mencungkil bakat serta membina keyakinan mereka untuk terus maju.
Menurutnya, SMK St. Joseph yang telah berusia 73 tahun bukan sahaja menjadi institusi pendidikan kepada generasi anak Papar, malah mempunyai nilai sentimental buat dirinya kerana pernah menuntut di sekolah berkenaan pada 1992.
“Saya pernah menimba ilmu di sini dan berkongsi pengalaman zaman persekolahan bersama guru serta rakan-rakan yang sedikit sebanyak membentuk diri saya hari ini.
“Dapat menyaksikan satu lagi kemudahan disumbangkan untuk membuka ruang dan peluang kepada generasi hari ini tentunya membawa nilai dan makna yang amat besar,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam agenda pendidikan menerusi pendekatan whole-of-nation yang melibatkan kerjasama Kerajaan, warga pendidik, ibu bapa, masyarakat dan sektor korporat.
Dalam majlis sama, Berjaya Cares Foundation turut menyumbangkan 500 bakul makanan kepada pihak sekolah untuk diagihkan kepada pelajar daripada golongan yang memerlukan.
Armizan merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad merangkap Pengerusi Berjaya Cares Foundation serta seluruh warga yayasan berkenaan atas sumbangan dan keprihatinan terhadap pendidikan serta kebajikan masyarakat Papar.



