HomeUtamaKerajaan Sabah komited sokong bakat muda dalam industri muzik

Kerajaan Sabah komited sokong bakat muda dalam industri muzik

Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited menyokong dan memperkasa bakat anak muda negeri ini dalam industri muzik tanah air, termasuk menerusi penganjuran program yang menyediakan ruang serta pengiktirafan kepada penggiat seni tempatan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa melihat usaha memperkasa bakat tempatan secara menyeluruh, termasuk dari aspek sokongan, bantuan dan keperluan pembangunan industri.

Katanya, bakat anak muda Sabah dalam bidang hiburan bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut seni dan kreativiti, malah berpotensi diterjemahkan sebagai sumber ekonomi serta pendapatan.

“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan melihat ini secara menyeluruh untuk memberi sumbangan dan bantuan serta apa sahaja yang diperlukan untuk mengangkat martabat serta bakat anak muda di Sabah.

“Bakat ini boleh diterjemahkan sebagai bentuk ekonomi dan pendapatan kepada anak-anak tempatan Sabah yang berbakat dalam bidang hiburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas malam kemuncak Anugerah Carta Lagu Artis Sabah Ke-16 (CLAS16) di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini.

Mazlan turut menggesa generasi muda Sabah yang mempunyai bakat dalam bidang muzik dan seni supaya terus aktif berkarya serta meningkatkan kebolehan dan kualiti masing-masing.

“Saya berharap kepada generasi muda yang berbakat di Sabah agar terus bergiat aktif dalam berkarya, kembangkan kebolehan diri, meningkatkan kualiti dan kredibiliti yang ada.

“Teruslah berusaha, memupuk minat dan mengembangkan kebolehan diri supaya satu hari nanti boleh mengangkat dan mengharumkan nama Sabah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran CLAS16 menjadi antara platform penting dalam memberikan pengiktirafan kepada penggiat seni negeri ini, selain mendorong mereka untuk terus berkarya dan meningkatkan kemampuan bagi menghadapi persaingan pada peringkat lebih tinggi.

Katanya, program berkenaan turut memberi impak positif kepada industri hiburan tempatan dengan menyediakan ruang kepada artis dan penggiat muzik untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

“Program ini memberikan impak positif kepada penggiat seni hiburan sekali gus memberikan motivasi dan semangat kepada artis untuk terus bergiat aktif dan meningkatkan kualiti dan kredibiliti masing-masing.

“Penganjuran tersebut juga menjadi platform untuk mengangkat kebolehan dan bakat anak Sabah ke peringkat yang lebih tinggi dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Mazlan turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah dan JKKN Sabah atas kejayaan penganjuran CLAS16 serta usaha berterusan dalam memperkasa industri muzik tempatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Israel Houghton: Belum ada permohonan rasmi adakan konsert di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular