HomeUtamaSabah sasar capai empat juta pelawat tahun ini

Sabah sasar capai empat juta pelawat tahun ini

Read Time:2 Minute, 15 Second

KOTA BELUD: Sabah berada di landasan untuk mencapai sasaran empat juta pelawat tahun ini selepas merekodkan kira-kira 2.6 juta ketibaan sehingga Ogos lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu merangkumi 1.1 juta ketibaan antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik.

“Dengan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat, saya yakin sasaran empat juta itu masih boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan JSK Mantanani Island Resort, di sini, pada Selasa.

Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri kekal komited memastikan sektor pelancongan Sabah berkembang secara berdaya saing, inklusif dan mampan.

Katanya, Pelan Induk Pelancongan Sabah akan menjadi panduan dalam menentukan hala tuju sektor itu, termasuk menangani cabaran kesalinghubungan penerbangan, melindungi alam sekitar serta memperluas penyertaan masyarakat tempatan.

“Untuk mencapai matlamat ini, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta amat diperlukan. Sabah mempunyai kekuatan luar biasa, daripada pulau dan pantai, hutan hujan, gunung-ganang, hidupan liar, budaya hinggalah kepada sajian makanan.

“Dengan perancangan yang baik, pengurusan profesional dan pemasaran yang berkesan, kita boleh berkongsi kekuatan ini dengan lebih ramai pelawat sambil melindungi alam sekitar dan menghormati kepentingan masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan JSK Mantanani Island Resort yang melibatkan pelaburan RM160 juta selaras dengan sasaran negeri untuk menarik lebih ramai pelawat selain menyediakan kemudahan pelancongan bertaraf tinggi.

Resort yang terletak di perairan Kota Belud itu mempunyai 84 vila serta kemudahan mesra alam, sekali gus menawarkan pengalaman kepada pelancong yang mencari pengalaman autentik di Sabah.

Hajiji turut mengalu-alukan kerjasama resort berkenaan dengan Wyndham Hotels & Resorts yang disifatkannya mampu memperkenalkan Mantanani kepada pasaran lebih luas serta menyokong penyediaan penginapan dan perkhidmatan bertaraf tinggi.

Beliau berkata, manfaat pembangunan pelancongan perlu turut dirasai masyarakat setempat menerusi peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran serta peluang perniagaan kepada usahawan tempatan, pembekal dan penyedia perkhidmatan pengangkutan.

“Saya berharap kejayaan resort ini akan turut dikongsi bersama masyarakat Kota Belud dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Katanya, memastikan masyarakat tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan pelancongan merupakan antara perkara penting dalam memastikan pertumbuhan sektor itu kekal mampan dan selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita mesti mengalu-alukan kedatangan pelawat sambil melindungi warisan semula jadi dan budaya kita supaya generasi akan datang terus dapat menikmati Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memperhalusi strategi bagi memperkukuh daya tarikan dan daya tahan Sabah sebagai destinasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Katanya, Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya agenda bersama yang memerlukan komitmen, kerjasama dan penyertaan semua pihak termasuk kerajaan, pemain industri, sektor swasta, masyarakat tempatan dan rakyat Sabah.

“Kita semua mempunyai peranan dalam mencapai matlamat Tahun Melawat Sabah 2027. Dengan bekerjasama, kita boleh memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi yang berdaya saing, mampan dan bertaraf dunia untuk pelawat dari dalam dan luar negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan menantu, ibu mentua didakwa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular