HomeUtamaSabah Electricity, PDRM perkukuh keselamatan elektrik anggota di lapangan

Sabah Electricity, PDRM perkukuh keselamatan elektrik anggota di lapangan

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mengenai keselamatan elektrik dalam kalangan anggota polis yang menjalankan tugas di lapangan.

Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Taklimat Kesedaran Keselamatan Elektrik kepada anggota PDRM Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut mengambil kira kejadian kemalangan melibatkan tiga anggota PDRM di Weston, Beaufort yang mengakibatkan kehilangan nyawa akibat renjatan elektrik, sekali gus menjadi peringatan mengenai pentingnya pengetahuan dan kesedaran keselamatan elektrik ketika menjalankan tugas.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, berkata kerjasama dengan PDRM merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperkukuh budaya keselamatan elektrik dalam kalangan agensi kerajaan dan komuniti.

Katanya, pengetahuan asas mengenai bahaya elektrik penting bagi membantu anggota mengenal pasti risiko serta mengambil langkah berjaga-jaga ketika berhadapan dengan pepasangan elektrik semasa menjalankan tugasan.

Terdahulu, delegasi Sabah Electricity yang diketuai Mohd Yaakob mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, sebelum sesi taklimat bermula.

Kunjungan itu bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara PDRM dan Sabah Electricity, selain membincangkan aspek keselamatan elektrik, ketenteraman awam serta kesejahteraan rakyat di Sabah.

Seramai 300 anggota polis menyertai taklimat berkenaan secara bersemuka dan dalam talian menerusi platform Zoom, membolehkan maklumat keselamatan elektrik disampaikan kepada anggota PDRM di seluruh Sabah.

Program itu akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Sabah dengan memberi penekanan kepada pengenalpastian bahaya elektrik, risiko renjatan, langkah keselamatan ketika berada berhampiran pepasangan elektrik serta tindakan sewajarnya apabila berhadapan situasi yang mempunyai risiko elektrik.

RELATED ARTICLES
Utama

Penjawat awam, empat pemilik syarikat didakwa berhubung tuntutan kerja baik pulih...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular