HomeUtamaBulan HASiL 2026 perkukuh literasi cukai, galak pengakuan sukarela

Bulan HASiL 2026 perkukuh literasi cukai, galak pengakuan sukarela

Read Time:2 Minute, 2 Second

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melancarkan Bulan HASiL 2026 yang membawa pendekatan lebih menyeluruh dalam mendekati masyarakat, memperkukuh literasi cukai serta memudahkan akses kepada maklumat, bimbingan dan perkhidmatan berkaitan percukaian.

Tahun ini turut menyaksikan Tax Education Month (TEM) dijenamakan semula sebagai Bulan HASiL, yang bukan sekadar perubahan nama tetapi mencerminkan peluasan pendekatan HASiL daripada pendidikan cukai kepada usaha lebih menyeluruh dalam mendekati masyarakat.

Pendekatan itu turut mengetengahkan peranan HASiL sebagai pemudah cara, penyedia perkhidmatan, pemberi panduan dan rakan kepada pembayar cukai.

Bertemakan “Lapor Sukarela, Tanggungjawab Bersama”, Bulan HASiL 2026 menyediakan lebih banyak ruang untuk masyarakat berinteraksi secara langsung dengan HASiL, mendapatkan maklumat yang tepat serta menyemak dan memperbetulkan kedudukan percukaian secara sukarela.

Sebagai program teras, Jelajah Literasi HASiL akan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang Oktober melalui penerangan, bimbingan dan khidmat secara terus di pelbagai lokasi tumpuan, termasuk pusat beli-belah, tapak karnival, lokasi komuniti, pusat rekreasi dan institusi pendidikan.

Selaras dengan pendekatan HASiL sebagai pemudah cara, dua Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), iaitu PKPS e-Invois dan PKPS Duti Setem, serta Kempen Pengakuan Sukarela Cukai Pendapatan turut diketengahkan bagi memberi peluang kepada pembayar cukai menyemak dan memperbetulkan kedudukan percukaian secara sukarela.

Pada masa sama, HASiL turut menggalakkan masyarakat membantu membendung aktiviti pelarian cukai melalui platform dalam talian e-Pelarian Cukai.

Platform berkenaan menyediakan saluran rasmi kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan individu atau entiti yang disyaki terlibat dalam pelarian cukai.

Penggunaan saluran dalam talian itu memudahkan masyarakat membuat laporan tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat HASiL, manakala setiap maklumat yang diterima akan dikendalikan secara bertanggungjawab mengikut tatacara yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, berkata pendekatan Bulan HASiL 2026 mencerminkan komitmen HASiL untuk membantu masyarakat melaksanakan tanggungjawab percukaian dengan lebih mudah dan teratur.

Menurut beliau, peranan HASiL bukan hanya menguatkuasakan pematuhan, tetapi turut memudah cara pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kita mahu memastikan pembayar cukai mendapat maklumat, panduan dan bantuan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bulan HASiL 2026 diharap menjadi pemangkin kepada masyarakat yang lebih celik cukai, yakin berurusan dengan HASiL dan memahami peranan cukai dalam pembangunan negara.

HASiL akan terus mendekati, membimbing dan memudah cara masyarakat bagi membina ekosistem percukaian yang lebih kukuh untuk negara dan rakyat.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan melalui Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 bagi panggilan dari luar negara, HASiL Live Chat serta Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL.

RELATED ARTICLES
Utama

Remaja didakwa lakukan amang seksual terhadap adik kandung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular