KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyatakan sokongan terhadap pendirian Tan Sri Anifah Aman berhubung cadangan penganjuran konsert penyanyi gospel Amerika Syarikat, Israel Houghton di Kota Kinabalu.
Jeffrey berkata, seruan Anifah supaya isu berkenaan ditangani dengan toleransi dan layanan adil mengetengahkan perkara penting mengenai keperluan mempertahankan sikap saling menghormati yang sekian lama menjadi asas kehidupan masyarakat berbilang agama di Sabah.
Beliau berkata, umat Islam, Kristian serta penganut agama lain di Sabah telah hidup bersama, meraikan perayaan masing-masing dan menghormati amalan keagamaan antara satu sama lain sejak beberapa generasi.
“Keharmonian ini adalah kekuatan yang mesti kita lindungi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jeffrey turut mengingatkan mengenai ikrar bersejarah yang terpahat pada Batu Sumpah Keningau iaitu, “Kerajaan Malaysia Jamin – Ugama Bebas Dalam Sabah.”
Menurut Ahli Parlimen Keningau itu, ikrar berkenaan mencerminkan kepentingan kebebasan beragama dan sikap saling menghormati yang menjadi antara perkara penting ketika pembentukan Malaysia.
Katanya, prinsip tersebut perlu terus menjadi panduan kepada kepimpinan serta dalam layanan terhadap setiap komuniti agama di Sabah.
“Maknanya mesti dipertahankan dalam amalan, termasuk menghormati hak penganut Kristian untuk berhimpun dan menzahirkan kepercayaan mereka secara aman, tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.
“Melindungi kebebasan ini adalah tanggungjawab bersama. Setiap komuniti mendapat manfaat apabila kita menghormati prinsip yang sama — menghormati kepercayaan antara satu sama lain dan kebebasan untuk mengamalkannya secara aman,” katanya.
Jeffrey berkata, seperti dinyatakan Anifah, acara yang dicadangkan itu merupakan konsert gospel yang ditujukan kepada penonton Kristian.
Justeru katanya, sebarang kebimbangan mengenai pandangan politik penyanyi terbabit perlu dinilai secara adil berdasarkan meritnya sendiri dan tidak seharusnya menimbulkan syak wasangka terhadap amalan keagamaan komuniti Kristian di Sabah.
“Membenarkan sesuatu persembahan muzik tidak dengan sendirinya bermaksud menyokong setiap pandangan politik yang pernah disuarakan oleh penyanyi berkenaan,” katanya.
Anifah sebelum ini mempersoalkan bantahan terhadap konsert berkenaan dan menggesa supaya politik agama bersifat tidak toleran tidak dibawa ke Sabah. Beliau turut berpandangan Houghton tidak seharusnya dihalang membuat persembahan sekiranya mematuhi undang-undang serta sensitiviti tempatan.
Mengulas isu Palestin, Jeffrey berkata, keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin tidak bercanggah dengan penghormatan terhadap ibadat serta ekspresi keagamaan penganut Kristian.
Katanya, kedua-dua prinsip itu boleh dipertahankan tanpa membenarkan pertikaian politik antarabangsa memecahbelahkan masyarakat di Sabah.
Sekiranya terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan mesej politik atau provokasi semasa acara itu, Jeffrey berkata pihak berkuasa berkaitan perlu berbincang dengan penganjur dan menetapkan syarat yang jelas.
Syarat itu termasuk pematuhan undang-undang serta permit berkaitan, menghormati sensitiviti tempatan dan memastikan konsert berkenaan tidak digunakan sebagai platform untuk melakukan provokasi politik.
“Sekiranya semua syarat tersebut dipenuhi, saya menyokong supaya konsert itu dibenarkan untuk diteruskan,” katanya.
Jeffrey turut menggesa pihak berkuasa menggunakan piawaian yang konsisten terhadap acara-acara seumpamanya dengan keputusan dibuat berdasarkan bukti, keselamatan awam dan pematuhan undang-undang.
Katanya, identiti agama seseorang penghibur atau penonton tidak seharusnya menjadi alasan kepada layanan yang tidak sama.
Beliau berkata orang ramai mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangan melalui saluran yang sah, namun laporan polis yang dibuat tidak seharusnya dengan sendirinya menentukan sama ada sesuatu acara perlu dilarang.
Jeffrey seterusnya menyeru semua pihak supaya mengamalkan sikap berhemah dan menyelesaikan perkara itu menerusi dialog, selain meminta Kerajaan Sabah serta pihak berkuasa berkaitan mengambil kira budaya keharmonian agama yang telah lama diamalkan di negeri itu.
“Rakyat Sabah telah membina sebuah masyarakat di mana perbezaan agama tidak menghalang kita daripada menjadi jiran, sahabat dan keluarga. Kita mesti memastikan semangat ini terus kekal.
“Saya bersama Tan Sri Anifah dalam menolak sikap tidak bertoleransi terhadap agama. Marilah kita menghormati ikrar Batu Sumpah Keningau dan melindungi keharmonian Sabah melalui keadilan, sikap saling menghormati dan kepimpinan yang bertanggungjawab,” katanya.



