HomeUtamaSabah mahu lahir lebih ramai atlet bertaraf dunia – Nizam

Sabah mahu lahir lebih ramai atlet bertaraf dunia – Nizam

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus menyediakan ruang dan peluang kepada bakat sukan di negeri ini untuk terus berkembang sehingga mampu muncul sebagai atlet bertaraf dunia.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, potensi besar yang dimiliki anak-anak Sabah dalam pelbagai cabang sukan perlu terus diberi perhatian dan sokongan sewajarnya.

Katanya, pencapaian 23 atlet Sabah yang terpilih mewakili kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Asia membuktikan negeri ini mempunyai ramai atlet berbakat serta mempunyai kesungguhan dan komitmen tinggi untuk mencapai kejayaan.

Beliau berkata, atlet-atlet berkenaan turut menyumbang kepada kejayaan kontinjen negara menerusi beberapa cabang sukan, termasuk karate, hoki, padel, sepak takraw dan pelayaran.

“Ini merupakan salah satu petanda bahawa sebenarnya anak-anak Sabah ini memang berbakat, memang mempunyai kesungguhan dan komitmen untuk berjaya.

“Kita di Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan terus berusaha untuk memberi mereka ruang dan peluang bagi mempertingkatkan lagi atlet atau bakat sukan di Sabah supaya mereka boleh menjadi juara dunia pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan ‘Kita Bah Ini’ di sini pada Isnin.

Menurut Nizam, kejayaan atlet Sabah di pentas antarabangsa bukan sahaja membanggakan negeri, malah menunjukkan bahawa bakat sukan tempatan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan sokongan dan ruang pembangunan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas pencapaian melebihi sasaran apabila berjaya meraih sembilan pingat emas berbanding sasaran enam emas.

Katanya, kejayaan itu turut disumbangkan oleh atlet dari Sabah, termasuk Adeola Fay Robert dari Tambunan yang menyumbangkan pingat emas menerusi acara karate.

Selain itu, tiga atlet Sabah yang beraksi dalam perlawanan akhir hoki turut membantu Malaysia meraih pingat perak, manakala Christopher Chin menyumbangkan pingat perak menerusi acara padel.

Nizam berkata, pencapaian berkenaan menjadi bukti bahawa pembangunan bakat sukan di Sabah perlu diteruskan secara berterusan bagi memastikan lebih ramai atlet tempatan mampu menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kerajaan negeri akan terus memberi ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah yang mempunyai bakat dalam bidang sukan supaya mereka dapat berkembang dan mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh pembangunan atlet juga perlu disokong dengan penyediaan kemudahan, latihan dan peluang pertandingan yang mencukupi agar bakat muda dapat dibentuk secara lebih sistematik.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan atlet Sabah bukan sekadar mampu mewakili negara, tetapi turut berpotensi mencipta kejayaan lebih besar di pentas dunia pada masa akan datang.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Mahkamah Koroner lawat semula lokasi kejadian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular