MEMBAKUT: Pekan lama Membakut berpotensi diketengahkan sebagai salah satu tarikan pelancongan berasaskan sejarah dan landskap di daerah ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, kawasan berkenaan mempunyai nilai sejarah khususnya dari aspek sejarah perniagaan dan perkembangan landskap Membakut yang wajar dipelihara.
Katanya, usaha melestarikan pekan lama itu bukan sahaja penting bagi memelihara nilai sejarah kawasan berkenaan, malah mampu mewujudkan daya tarikan baharu kepada pelancong.
“Pekan lama di kawasan Membakut ini menjadi salah satu momen sejarah perniagaan dan sejarah bagi landskap Membakut ini.
“Saya minta perkara ini dilihat kerana ia boleh menjadi daya tarik kepada pelancong dan sekaligus untuk melestarikan sejarah dan alam sekitar di kawasannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti Lestari yang dianjurkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama Pejabat Daerah serta pimpinan masyarakat di Membakut.
Menurutnya, pembangunan dan pemeliharaan kawasan bersejarah perlu dilihat secara menyeluruh dengan memberi perhatian kepada aspek kebersihan, keindahan landskap serta keselesaan kemudahan awam.
Katanya, persekitaran yang bersih dan indah bukan sahaja memberi keselesaan kepada masyarakat setempat, malah mampu meningkatkan daya tarikan sesuatu kawasan kepada pengunjung.
Dalam masa sama, Arifin berkata, pemeliharaan pekan lama Membakut berpotensi memberi manfaat ekonomi kepada peniaga dan usahawan tempatan.
“Ini sangat penting juga untuk membantu peniaga kita, usahawan kita di kawasan Membakut ini.
“Mereka akan boleh berniaga di kawasan yang landskapnya penuh dengan sejarah dan juga mempunyai daya tarik yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha kerajaan negeri menerusi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang turut memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat.
Katanya, kesejahteraan masyarakat bukan hanya merangkumi aspek fizikal dan ekonomi, tetapi turut dipengaruhi oleh persekitaran yang bersih, indah dan kondusif.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk komuniti, penjaja dan peniaga supaya bersama-sama memainkan peranan memastikan kawasan masing-masing sentiasa bersih dan terpelihara.
“Perlu peranan semua masyarakat termasuk penjaja dan peniaga, tamu dan sebagainya untuk memastikan kebersihan itu adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Beliau berkata, usaha memelihara kebersihan dan keindahan kawasan perlu dijadikan keutamaan di seluruh daerah bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa, menarik dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.



