TAWAU: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar Zon 5 susulan kejadian gempa bumi lemah hingga sederhana yang dilaporkan berlaku di perairan Sandakan, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, rondaan dan pemantauan itu dijalankan pada jam 10 malam susulan laporan gempa bumi sederhana pada jarak 48 kilometer timur Lahad Datu.
Menurutnya, rondaan membabitkan pasukan bomba dari BBP Tawau, BBP Semporna, BBP Kunak dan BBP Lahad Datu bagi memastikan keadaan di kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat.
“Pasukan bomba menjalankan rondaan dan pemeriksaan di beberapa lokasi dalam Zon 5 dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa.
“Tiada kejadian runtuhan, kebakaran mahupun kecederaan membabitkan mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi berada dalam keadaan terkawal pada jam 10.16 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.23 malam.
Pasukan bomba turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan serta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kejadian kecemasan.



