HomeUtamaDAPSY: Isu Kampung Pondo bukan soal kaum, tetapi undang-undang

DAPSY: Isu Kampung Pondo bukan soal kaum, tetapi undang-undang

Read Time:2 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) digesa tidak mempolitikkan isu penempatan di Kampung Pondo, Pulau Gaya, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek pemilikan tanah, hak pendudukan dan penguatkuasaan undang-undang.

Naib Ketua DAP Socialist Youth (DAPSY) Sabah, Thien Ee Hang, berkata persoalan utama berhubung isu itu adalah sama ada struktur yang dibina di kawasan berkenaan mempunyai asas undang-undang serta hak untuk menduduki tanah terbabit.

Beliau mempersoalkan tindakan Warisan yang didakwa cuba mengaitkan isu pendudukan tanah secara tidak sah dengan sentimen perkauman, sedangkan undang-undang tanah perlu dikuatkuasakan tanpa mengira latar belakang kaum atau kewarganegaraan.

“Sejak bila penguatkuasaan undang-undang tanah menjadi isu perkauman? Sama ada seseorang itu berbangsa Cina, Kadazan, Dusun, Bajau, Melayu atau daripada mana-mana komuniti lain, undang-undang yang sama mesti terpakai.

“Menjadi warganegara Malaysia atau rakyat Sabah tidak secara automatik memberikan seseorang hak untuk menduduki tanah yang bukan miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thien turut mencabar Warisan supaya menjelaskan pendirian parti itu berhubung pendudukan tanah secara tidak sah, termasuk sama ada status sebagai rakyat Malaysia atau Sabah membolehkan seseorang membina rumah atau menduduki mana-mana tanah tanpa kebenaran.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana hak pemilik tanah yang memperoleh hartanah secara sah, membayar harga pembelian serta mematuhi peraturan undang-undang akan dilindungi sekiranya pendudukan tanpa kebenaran dibenarkan atas alasan kewarganegaraan.

Katanya, kewarganegaraan dan pemilikan tanah merupakan dua perkara berbeza yang tidak seharusnya dicampuradukkan kerana tindakan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat mengenai hak serta tanggungjawab masing-masing.

“Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak, tetapi setiap rakyat juga mempunyai tanggungjawab. Kewarganegaraan bukan lesen untuk mengabaikan undang-undang tanah, sama seperti kemiskinan atau kesusahan hidup tidak secara automatik memberikan hak milik terhadap tanah orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Thien berkata pihak berkuasa perlu mengambil pendekatan berperikemanusiaan dan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada keluarga yang benar-benar memerlukan, termasuk kanak-kanak yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan awam.

Namun, katanya, pertimbangan kemanusiaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membenarkan pendudukan tanah secara tidak sah berterusan tanpa batasan.

Beliau menegaskan sebarang tuntutan pemilikan tanah atau hak adat anak negeri yang sah perlu diteliti dan dihormati melalui proses undang-undang yang sewajarnya, namun ia tidak boleh disamakan dengan hak untuk menduduki tanah tanpa kebenaran.

“Penguatkuasaan mesti dilakukan secara sah, adil dan berperikemanusiaan. Namun, belas kasihan tidak bermaksud mengabaikan kedaulatan undang-undang.

“Jika tidak, apakah mesej yang kita sampaikan kepada ribuan rakyat Sabah yang bekerja keras, membayar sewa, melunaskan pinjaman perumahan dan membeli rumah sendiri?” katanya.

Thien turut mempersoalkan kesan lebih luas sekiranya pendudukan tanah tanpa kebenaran terus dibenarkan atas alasan penghuni merupakan warganegara Malaysia, termasuk implikasi terhadap tanah kerajaan, kawasan rizab awam dan hartanah milik persendirian.

Beliau menggesa Warisan supaya tidak menjadikan isu penguatkuasaan undang-undang sebagai pertikaian identiti kaum, sebaliknya mengemukakan penyelesaian konstruktif yang dapat menegakkan undang-undang serta menangani kebimbangan kemanusiaan sebenar.

“Isunya bukan siapa anda, apa kaum anda atau kad pengenalan apa yang anda miliki. Isunya ialah sama ada anda mempunyai hak yang sah untuk menduduki tanah itu. Undang-undang mesti melindungi semua pihak secara sama rata, termasuk pemilik tanah yang sah.

“Warisan perlu memahami bahawa mempertahankan kepentingan rakyat Sabah juga bermaksud mempertahankan kedaulatan undang-undang, menghormati hak pemilikan dan memastikan tanah awam diurus secara adil untuk manfaat semua rakyat Sabah, bukan hanya mereka yang mendudukinya terlebih dahulu.

“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang, walaupun atas nama kaum, kewarganegaraan atau simpati politik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Persembahan cilik meriahkan majlis graduasi Tadika Shan Tao

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular