Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memaklumkan kepada Mahkamah Koroner, hari ini, bahawa dia mengetahui anaknya pernah mencuba vape.
Noraidah Lamat, 46, berkata dia bertanya sendiri kepada Zara mengenai perkara itu selepas mengetahui terdapat beberapa murid lelaki yang memiliki vape dan membawanya ke sekolah.
“Saya tanya Zara sama ada dia ada ikut kawan-kawan mencuba vape. Pada mulanya dia kata tidak, tetapi apabila saya bertanya sekali lagi, Zara akhirnya mengaku pernah mencuba sedikit.
“Dari situlah saya tahu Zara pernah mencuba vape,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam Shahlan Jufri, Noraidah yang merupakan saksi ke-82 berkata, pada mulanya dia tidak marah ketika bertanyakan perkara itu kepada Zara.
Bagaimanapun, katanya, dia menjadi sedikit marah selepas anaknya mengaku pernah mencuba vape.
“Saya tanya kenapa dia ikut-ikut orang lain. Saya beritahu dia, nasib baik dia tidak dipanggil di sekolah,” katanya.
Noraidah berkata, dia kemudian menasihati Zara mengenai keburukan vape dan kesannya terhadap kesihatan serta mengingatkan anaknya supaya tidak mencubanya lagi.
Katanya, dia tidak menghukum Zara berhubung perkara itu, sebaliknya hanya membebel dan memberitahu anaknya mengenai keburukan vape.
Ditanya sama ada dia pernah memaki atau memukul Zara kerana perkara itu, Noraidah berkata dia tidak pernah berbuat demikian.
Mengenai reaksi Zara ketika ditegur, Noraidah berkata anaknya ketawa sedikit dan berpendapat kemungkinan Zara dan rakan-rakannya ketika itu belum menyedari bahaya vape dan hanya mahu mencubanya.
Noraidah berkata, Zara akan kembali seperti biasa selepas ditegur walaupun pada mulanya mungkin merajuk atau marah.
“Kalau dia merajuk atau marah, paling lama pun dalam 30 minit. Selepas itu hubungan kami kembali normal seperti biasa,” katanya.
Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa selepas kejadian (kena tegur) itu, dia tidak pernah lagi mengetahui Zara mencuba atau menggunakan vape mahupun mendengar mengenainya daripada rakan-rakan anaknya.



