HomeUtamaHQE II laksana 'pacemaker' tanpa wayar pertama di Malaysia Timur

HQE II laksana ‘pacemaker’ tanpa wayar pertama di Malaysia Timur

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Pusat Rawatan Jantung Sabah, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) jenis Aveir VR, yang pertama seumpamanya di Malaysia Timur.

HQE II menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kejayaan itu dicapai pada 10 September 2026 menerusi pasukan Jabatan Kardiologi HQE II, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam bidang kardiologi berteknologi tinggi di Sabah.

Hospital itu turut diiktiraf sebagai antara tiga pusat bertauliah di Malaysia yang mempunyai pakar perubatan sah untuk menjalankan prosedur kardiologi berteknologi tinggi berkenaan.

Prosedur tersebut diketuai Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Datuk Dr Liew Houng Bang bersama Pakar Kardiologi, Dr Foo Jhi Hui, dengan sokongan seluruh warga Jabatan Kardiologi HQE II.

Turut memberikan bimbingan dan khidmat nasihat sebagai proktor sepanjang prosedur ialah Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Elektrofisiologi, Dr Saravanan Krishinan.

Perentak jantung Aveir VR keluaran Abbott merupakan peranti bersaiz kecil yang direka untuk memberikan rangsangan elektrik kepada jantung tanpa memerlukan wayar transvenous seperti sistem perentak jantung konvensional.

Peranti berkenaan dimasukkan terus ke dalam jantung melalui prosedur invasif minimum dan tidak memerlukan pembedahan atau insisi pada bahagian dada pesakit.

Teknologi berkenaan turut menawarkan kelebihan dari segi saiz peranti yang lebih kecil, jangka hayat bateri serta potensi mengurangkan beberapa komplikasi berkaitan sistem perentak jantung konvensional yang menggunakan wayar.

Kejayaan melaksanakan prosedur itu hasil kolaborasi antara Pusat Rawatan Jantung Sabah dan pasukan Abbott Cardiac Rhythm Management.

Pencapaian berkenaan bukan sahaja memperkukuh keupayaan HQE II dalam bidang elektrofisiologi dan kardiologi berteknologi tinggi, malah membuka ruang kepada penggunaan teknologi perubatan invasif minimum yang lebih maju di Sabah dan rantau Borneo.

Ia sekali gus memberi pilihan rawatan lebih moden kepada pesakit yang memerlukan perentak jantung, selain mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan sedemikian di luar Sabah. 

RELATED ARTICLES
Utama

Ibu nasihati Zara jauhi vape selepas mengaku pernah mencuba

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular