SANDAKAN: Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi butir matan palsu bagi tuntutan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM15,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi Selasa ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan dokumen berkaitan tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan sempena lawatan kerja pegawai kanan sebuah kementerian, yang dipercayai berlaku sekitar 2023 dan 2024.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dijadualkan dituduh pada 8 Oktober 2026 di Mahkamah Sesyen Rasuah Sandakan.



