HomeUtamaIbu Zara nafi dakwaan panggil anak tiri ‘anak haram’

Ibu Zara nafi dakwaan panggil anak tiri ‘anak haram’

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menafikan pernah memanggil atau melabel Malianah Mahathir, anak kepada suaminya, sebagai “anak haram” ketika Malianah tinggal bersamanya pada 2011.

Noraidah Lamat membuat penafian itu ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri berhubung keterangan Malianah di Mahkamah Koroner sebelum ini.

Shahlan: Malianah juga ada memberitahu mahkamah bahawa puan selalu menyebut ataupun melabel dia sebagai “anak haram” semasa tinggal dengan puan. Boleh puan beri respons?

Noraidah: Saya tidak pernah mengatakan kepada Malianah, “Kau ni anak haram”. Tetapi kenapa dia mesti rasa trigger dengan perkataan “anak haram” itu? Sebab setahu saya, memang dia anak haramlah seperti yang diceritakan oleh makcik-makciknya.

Saya tidak mahu mengulas lanjut sebab itu hal peribadi mereka.

Shahlan: Pernahkah puan sekali mengatakan Malianah ini “anak haram” semasa Malianah tinggal di rumah puan?

Noraidah: Tidak pernah.

Terdahulu, Noraidah memberitahu mahkamah bahawa Malianah tinggal bersamanya selama kira-kira satu hingga dua bulan pada 2011 selepas dia berkahwin dengan Mahathir pada 11 Jun tahun sama.

Menurutnya, Malianah ketika itu berusia 10 tahun dan berada di Tahun Empat.

Noraidah berkata, sepanjang tempoh berkenaan, dia menghantar dan mengambil Malianah dari sekolah serta atas inisiatifnya turut menghantar Malianah mengikuti kelas KAFA.

Katanya, dia juga menguruskan makan minum dan persekolahan Malianah kerana Mahathir ketika itu hanya pulang dua malam seminggu, iaitu Sabtu dan Ahad, bergantung kepada keadaan.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Malianah sebelum ini mendakwa Noraidah hanya melayannya dengan baik apabila Mahathir berada di rumah, tetapi bersikap sebaliknya apabila lelaki itu tiada.

Malianah juga memberitahu mahkamah bahawa Noraidah hanya memasak untuk dirinya sendiri, manakala Malianah memasak sendiri, mencuci pakaiannya termasuk pakaian sekolah serta menyediakan sendiri kelengkapan persekolahannya.

Menjawab dakwaan itu, Noraidah berkata: “Kalau saya ini jahat dengan Malianah, saya tidak hantar dia ke sekolah pagi dan ambil dia lepas balik dari sekolah. Saya tidak hantar dia bersekolah di KAFA.

“Kalau saya jahat dengan Malianah, saya tidak sediakan kelengkapan sekolahnya. Dan kalau saya jahat dengan Malianah, mesti dia sudah lari dari rumah ataupun mengadu dengan neneknya yang dia tidak tahan dengan saya.”

Noraidah turut menafikan dakwaan bahawa dia memaki Malianah menggunakan bahasa kasar.

“Saya tidak ada memaki dia dengan bahasa kasar seperti yang dia dakwa saya. Kalau dia melakukan kesalahan, saya cuba menegur dia seperti emak-emak lain yang menegur anaknya.

“Jadi kalau saya ini yang suka memaki dia, saya tidak akan jaga dia dengan baik,” katanya.

Noraidah berkata, Malianah tinggal bersamanya sehingga bapanya meninggal dunia pada 8 September 2011.

Susulan kematian bapanya, Noraidah meminta Mahathir mengambil Malianah sementara dia menguruskan pengebumian dan urusan berkaitan.

Prosiding inkues dijalankan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

LINK BERITA TERDAHULU:

RELATED ARTICLES
Utama

Saya tidak pernah halang Zara jumpa atau hubungi bapanya – Ibu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular