HomeUtamaInsentif cukai galak sumbangan kepada Inisiatif Ihsan Food Bank

Insentif cukai galak sumbangan kepada Inisiatif Ihsan Food Bank

Read Time:1 Minute, 14 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan memperkenalkan insentif potongan cukai khas bagi menggalakkan sumbangan makanan dan peralatan kepada Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) menerusi Belanjawan 2027.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata insentif itu merupakan antara 44 langkah insentif cukai yang diumumkan dalam belanjawan berkenaan, hasil syor yang dikemukakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan (MoF).

Beliau berkata, potongan cukai khas itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030 bagi pihak yang menyumbangkan makanan dan peralatan untuk pelaksanaan i-FB.

Menurutnya, insentif berkenaan bertujuan memperkukuh ekosistem pelaksanaan food bank dengan menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada pelbagai pihak, termasuk sektor korporat dan pertubuhan sukarela.

“Potongan cukai khas berkenaan menjadi galakan dan pengiktirafan kepada rakan strategik untuk menyumbang makanan, peralatan serta sokongan operasi bagi memperkukuh pelaksanaan i-FB,” katanya pada sidang media sempena Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, butiran terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan insentif berkenaan akan diselaraskan bersama MoF.

Beliau berkata, kerjasama rakan strategik, termasuk sektor korporat dan pertubuhan sukarela, mampu memperkukuh peranan i-FB dalam membantu golongan yang memerlukan, mengurangkan pembaziran makanan serta melindungi alam sekitar.

Pelaksanaan i-FB berteraskan pendekatan 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, yang menggabungkan usaha meringankan beban kos sara hidup dengan amalan pengurusan makanan yang lebih mampan.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN serah geran i-FB kepada GPS UMS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular