HomeUtamaCharity Fun Run galak gaya hidup sihat, sokong kebajikan pesakit kanser

Charity Fun Run galak gaya hidup sihat, sokong kebajikan pesakit kanser

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Program Charity Fun Run menjadi platform menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, selain menyokong usaha kebajikan Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin berkata, program anjuran Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam (MSPA) Negeri Sabah 2026 itu turut berperanan memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya membawa dimensi tanggungjawab sosial apabila sebahagian hasilnya disalurkan kepada PSKS.

“Nilai keprihatinan di sebalik sumbangan kewangan seiring dengan mesej yang ingin dibawa bersama bahawa para pesakit kanser dan keluarga tidak bersendirian dalam menghadapi perjuangan mereka.

“Usaha membina masyarakat yang sihat, prihatin serta saling menyokong tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Charity Fun Run MSPA 2026, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN), Dr Tetty Ruziyati A. Hamid.

Menurut Norlijah, nilai kemanusiaan perlu terus disuburkan dalam masyarakat, manakala tanggungjawab sosial tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu organisasi sahaja.

Katanya, program berkenaan membuktikan bagaimana kerjasama merentas organisasi dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Tanggungjawab sosial memerlukan kerjasama kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan, persatuan, komuniti dan individu,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu menjayakan program, malah menyokong usaha PSKS meneruskan khidmat kebajikan serta sokongan kepada pesakit kanser di Sabah.

Sehubungan itu, beliau berharap program berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat dengan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

Program anjuran INSAN dengan kerjasama Persatuan Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SSS) dan Sabah Association of Secretaries itu berjaya menghimpunkan kira-kira 300 peserta.

Dalam program sama, Dr Tetty turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada wakil PSKS.

RELATED ARTICLES
Utama

Insentif cukai galak sumbangan kepada Inisiatif Ihsan Food Bank

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular