HomeUtamaUbah suai kenderaan tidak ikut spesifikasi berdepan denda atau penjara

Ubah suai kenderaan tidak ikut spesifikasi berdepan denda atau penjara

Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi teknikal dan peraturan ditetapkan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengingatkan pemilik dan pengguna kenderaan supaya memastikan setiap pengubahsuaian mematuhi peraturan berkuat kuasa demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Pengubahsuaian yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Hukuman boleh melibatkan denda maksimum RM2,000 dan penjara sehingga enam bulan, tertakluk pada peruntukan undang-undang yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Antara empat jenis pengubahsuaian yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan cermin gelap berlebihan, ekzos yang diubah suai dan bising, lampu tidak mengikut spesifikasi serta sistem gantungan udara (air suspension).

Menurut JPJ Sabah, tahap ketelusan cahaya cermin kenderaan hendaklah mematuhi had dibenarkan, manakala pengubahsuaian ekzos perlu mengikut spesifikasi ditetapkan.

Pemasangan lampu HID, LED atau strobe yang tidak sesuai atau menyebabkan silauan pula boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Bagi sistem gantungan udara, sebarang pengubahsuaian yang menjejaskan ketinggian, kestabilan dan keselamatan kenderaan hendaklah mematuhi peraturan berkuat kuasa.

JPJ Sabah turut mengingatkan bahawa pengubahsuaian tidak selamat boleh menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan, meningkatkan risiko kemalangan maut, menghasilkan silauan lampu yang membahayakan pemandu lain serta menyebabkan pencemaran bunyi dan udara.

Sehubungan itu, pemilik dan pengguna kenderaan dinasihatkan supaya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat serta mengelakkan pengubahsuaian yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Keselamatan jalan raya tanggungjawab kita bersama,” tambah kenyataan itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Ribut petir, hujan lebat landa Pantai Barat, Pedalaman Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular