HomeUtamaHerba tempatan umpama ketulan emas – PERKOM

Herba tempatan umpama ketulan emas – PERKOM

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA MARUDU: Herba tempatan wajar dianggap sebagai khazanah bernilai tinggi kerana berpotensi menyumbang kepada kesihatan serta pembangunan ekonomi, kata Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM), Datuk Dr. Janathan Kandok.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis bersama pasukan pemasaran herba anjuran HPA International di Bian Republic, hari ini.

Menurutnya, kunyit, hempedu bumi, tongkat ali dan kacip fatimah merupakan antara herba yang digunakan secara tradisional dan mempunyai nilai komersial yang berpotensi dikembangkan melalui penyelidikan saintifik.

“Jika orang menyedari khasiat herba, sudah tentu mereka tidak sanggup menggantikannya dengan ketulan-ketulan emas,” katanya.

Dr. Janathan berkata, sesetengah herba mengandungi sebatian semula jadi yang berpotensi memberikan manfaat kesihatan, termasuk aktiviti antioksidan dan anti-radang, bergantung pada jenis herba serta kaedah penggunaannya.

Katanya, kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan pemakanan yang baik perlu dipertingkatkan, namun penggunaan herba hendaklah dilakukan secara bertanggungjawab dan tidak menggantikan rawatan perubatan yang diperlukan.

Beliau turut menegaskan bahawa industri herba mempunyai potensi ekonomi yang luas, termasuk dalam pasaran antarabangsa.

“Malaysia mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan industri herba dan produk berasaskan tumbuhan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan usahawan dan peniaga herba tempatan di Kota Marudu supaya terus meningkatkan kualiti produk, memanfaatkan penyelidikan saintifik serta memperluas pasaran bagi mengangkat nilai herba tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, turut menyokong pembangunan usahawan melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk dalam sektor pertanian dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

Terdahulu, penyelaras majlis, Jaburah Dagilon, bersama ahli herba dan stokis HPA International, Anuar Abd Laib, berkata tubuh manusia mempunyai sistem pertahanan semula jadi yang perlu dipelihara menerusi penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan yang baik.

Mereka turut berkongsi pandangan mengenai penggunaan herba dalam amalan tradisional, termasuk kepercayaan berkaitan keseimbangan angin dan suhu badan.

RELATED ARTICLES
Utama

Zul Hadi dilantik Setiausaha Persekutuan Sabah mulai esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular