KOTA KINABALU: Datuk Zul Hadi Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah, berkuat kuasa 16 Oktober 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan itu dan menyatakan keyakinan bahawa pengalaman serta kepakaran Zul Hadi mampu membantu memperkukuh penyelarasan pentadbiran Persekutuan di Sabah.
Zul Hadi, 57, mempunyai pengalaman selama 32 tahun dalam bidang ekonomi, kewangan serta dasar dan perancangan strategik.
Beliau memiliki kelulusan Sarjana Sains Perakaunan Kewangan dari Westminister College Oxford, United Kingdom.
Sebelum pelantikan itu, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian di Bahagian Pertanian, Sektoral, Perancangan Pembangunan Sosioekonomi, Kementerian Ekonomi.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit di Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Perbendaharaan Malaysia, selain mempunyai pengalaman di Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut Shamsul Azri, pengalaman, kepakaran dan kepimpinan Zul Hadi menjadi kekuatan penting dalam menggalas tanggungjawab baharu itu, khususnya bagi memperkukuh penyelarasan pentadbiran serta pelaksanaan dasar dan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.
Beliau berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuh bagi mempercepat penyelesaian isu pelaksanaan dan mengurangkan jurang penyelarasan antara agensi.
Usaha itu juga penting bagi memastikan keperluan serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar dan projek pembangunan di negeri ini.



