HomeUtamaPenduduk Sandakan dinasihat kurangkan aktiviti luar susulan IPU tidak sihat

Penduduk Sandakan dinasihat kurangkan aktiviti luar susulan IPU tidak sihat

Read Time:1 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU : Penduduk di Sandakan dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar bangunan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencatatkan paras tidak sihat, iaitu 105.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, bacaan itu melepasi paras sederhana dan berada dalam julat 101 hingga 200 yang dikategorikan sebagai tidak sihat.

Keadaan itu memerlukan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai asma atau penyakit berkaitan sistem pernafasan.

Mereka yang terpaksa melakukan aktiviti di luar bangunan disaran mengurangkan tempoh berada di kawasan terbuka dan mengelakkan aktiviti fizikal berat.

Sementara itu, bacaan IPU di beberapa stesen pemantauan lain kekal pada tahap sederhana, iaitu antara 72 hingga 92.

Antaranya di Tawau (96); Politeknik Kota Kinabalu (91); Keningau (86); Kimanis (75) dan Kota Kinabalu (72).

Mengikut pengelasan IPU, bacaan sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan pencemaran udara.

Penduduk disaran memantau bacaan IPU melalui APIMS Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa kerana tahap kualiti udara boleh berubah mengikut keadaan persekitaran.

RELATED ARTICLES
Utama

Zul Hadi dilantik Setiausaha Persekutuan Sabah mulai esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular