KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pengiktirafan tertinggi dalam Pertandingan Reka Cipta (PEREKA) apabila inovasi berasaskan teknologi pemantauan ekosistem marin dan karbon biru dinobatkan sebagai penerima Anugerah Best of The Best sempena kemuncak Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026.
Projek bertajuk “Precision Blue Carbon Module: Drone Intelligence for High-Resolution Seagrass Habitat Monitoring” itu merupakan hasil penyelidikan pensyarah Institut Marin Borneo UMS, Ts. Gs. Dr. Chong Wei Sheng, yang menggunakan teknologi dron pintar untuk memantau habitat rumput laut secara lebih terperinci.
Inovasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemantauan ekosistem rumput laut yang memainkan peranan penting dalam menyerap dan menyimpan karbon biru, selain menyokong pemuliharaan biodiversiti marin serta kelestarian sumber laut.
Kejayaan itu membuktikan potensi penyelidik UMS dalam menghasilkan inovasi berteknologi tinggi yang mampu menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam meneroka potensi ekonomi biru sebagai salah satu pemacu pertumbuhan negeri.
Pencapaian berkenaan turut memperkukuh aspirasi UMS sebagai “The Brain of Borneo”, khususnya dalam menerajui pembangunan penyelesaian teknologi bagi memastikan kelestarian sumber marin.
Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan, yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, ketika menyempurnakan majlis penutupan festival itu berkata, Sabah dan Borneo mempunyai kedudukan penting dalam usaha memperkukuh agenda inovasi negara.
Katanya, rantau ini bukan sahaja kaya dengan sumber alam dan biodiversiti yang luar biasa, malah mempunyai kepelbagaian budaya, pengetahuan tempatan serta kekuatan komuniti yang menjadi sumber inspirasi kepada penerokaan ilmu dan penciptaan inovasi baharu.
“Keunikan geografi dan sosioekonomi Sabah membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan setempat, termasuk cabaran berkaitan keterhubungan kawasan luar bandar, akses kepada perkhidmatan asas, keterjaminan makanan dan pengurusan sumber alam.
“Cabaran sedemikian seharusnya dilihat bukan hanya sebagai kekangan pembangunan, tetapi sebagai peluang untuk mencipta penyelesaian yang lebih mampan dan inklusif.
“Dalam konteks ini, penganjuran BFOI amat bertepatan dalam menyediakan ruang untuk mengetengahkan kreativiti, berkongsi pengetahuan dan mempersembahkan penyelesaian yang lahir daripada pemerhatian serta pengalaman sendiri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin, yang menjalankan fungsi Naib Canselor, berkata BFOI mencerminkan komitmen UMS bersama pelbagai agensi kerajaan untuk memperluas budaya inovasi di luar lingkungan kampus dan mendekatkannya kepada masyarakat.
“Jadikanlah pengalaman BFOI sebagai satu batu loncatan untuk terus mengembangkan potensi inovasi dan produk ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ini termasuk meneroka peluang pendanaan, kolaborasi bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi di rantau Borneo,” katanya.
Bertemakan “Cetus Idea, Cipta Masa Depan”, BFOI 2026 dianjurkan UMS dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan rakan strategik Kerajaan Negeri Sabah, selain mendapat sokongan pelbagai pihak industri.
Penganjuran festival itu memperlihatkan peranan universiti sebagai pemangkin ekosistem inovasi yang menghubungkan penyelidikan, industri dan komuniti.
Sepanjang pelaksanaannya dari Jun hingga Ogos 2026, festival itu mencatatkan lebih 850 penyertaan inovasi menerusi lima zon daerah di seluruh Sabah. Peringkat Grand Finale pula menghimpunkan hampir 600 penyertaan serta menarik kehadiran lebih 1,500 pengunjung.
Kemuncak BFOI 2026 turut menyaksikan penyampaian 44 anugerah khas berserta hadiah wang tunai kepada peserta cemerlang menerusi lima pertandingan utama, iaitu PEREKA, Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo, Borneo Solid Waste Management Innovation Challenge, STEAMQuest Ignite dan Cabaran Geran Mikro Pengkomersialan.



