TAWAU: Sebanyak 15,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut, semalam.
Kes berkenaan diserahkan oleh sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada KPDN susulan pemantauan dan risikan yang dijalankan di sekitar Jalan Sin On Tiku, di sini.
KPDN Tawau dalam kenyataan memaklumkan, nilai keseluruhan barangan dan peralatan yang disita dalam kes itu dianggarkan berjumlah RM112,050.

Antara barangan yang disita ialah dua tangki berwarna hijau, dua gulung hos paip berukuran satu inci dengan anggaran panjang masing-masing 10 meter dan lima meter, serta dua set pam, masing-masing berjenama Piusi dan K-44.
Kes berkenaan telah diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut, manakala kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut KPDN, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan melibatkan syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta.
KPDN Cawangan Tawau menegaskan komitmennya untuk membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bagi melindungi kepentingan rakyat dan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan atau penyalahgunaan barang kawalan boleh menyalurkannya menerusi portal e-Aduan KPDN di e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi KPDN Tawau di talian 089-776690.
Aduan juga boleh disalurkan menerusi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000.



