TAWAU: Golongan belia di Sabah digalak bukan sahaja mencari peluang pekerjaan, malah berani mencipta pekerjaan, membangunkan perniagaan dan meneroka bidang keusahawanan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, golongan belia perlu diperkasa dengan kemahiran dan pengetahuan yang bersesuaian bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja semasa.
Katanya, pendekatan itu penting bagi melahirkan generasi belia yang bukan sahaja bergantung kepada peluang pekerjaan sedia ada, tetapi mampu mengambil peluang dalam bidang perniagaan dan ekonomi baharu.
“Kita mahu belia Sabah menjadi generasi yang bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi turut berupaya mencipta pekerjaan, membangunkan perniagaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Syed Ahmad Syed Abas pada perasmian Karnival Gigpreneur, Ekonomi dan Kerjaya (GEK) ESS Zone di Dewan Masyarakat Tawau, di sini.

Nizam berkata, perkembangan ekonomi digital dan kreatif juga perlu dimanfaatkan golongan belia sebagai sumber pendapatan yang mampan.
Menurutnya, peningkatan kemahiran serta pembinaan jaringan dengan pemain industri penting bagi memastikan keupayaan golongan belia sentiasa selari dengan keperluan pasaran semasa.
“Golongan belia perlu melihat perkembangan ekonomi digital dan kreatif sebagai ruang baharu untuk menjana pendapatan, membina kerjaya serta mengembangkan potensi keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan kepada peluang ekonomi, pembangunan kemahiran dan jaringan industri juga dapat membantu golongan belia membuat pilihan kerjaya yang lebih luas.
Sehubungan itu, penganjuran Karnival GEK ESS Zone dilihat sebagai platform untuk menghubungkan golongan belia dengan pelbagai peluang pekerjaan, keusahawanan, ekonomi gig dan ekonomi kreatif.
Karnival anjuran Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu turut menyediakan sesi perkongsian dan forum berkaitan peluang ekonomi, kerjaya serta pembangunan kemahiran.
Penganjuran berkenaan menyasarkan kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung dari kawasan ESS Zone, khususnya Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak, selain menghimpunkan 30 reruai pameran dan perkhidmatan.
Nizam berkata, usaha memperluas akses kepada peluang ekonomi dan pembangunan kemahiran perlu diteruskan bagi membantu golongan belia membina masa depan yang lebih berdaya tahan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.



