KOTA KINABALU: Seorang murid lelaki berusia 11 tahun cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai berlari melintas jalan dari arah kanan ke kiri sebelum dilanggar kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.03 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Pekan Manggatal menuju ke CKS Manggatal.
“Apabila tiba di hadapan SK Darau, Jalan Tuaran Lama, kereta berkenaan telah melanggar mangsa yang dipercayai sedang berlari melintas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahrudin, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa dilaporkan masih dirawat di wad kecemasan Zon Merah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kenderaan terbabit ditahan untuk menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan pihak terlibat serta mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam di talian 012-3036605 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Shahrudin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat, berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.



