HomeUtamaPekerja warga Filipina terjatuh dari kapal, ditemukan meninggal dunia

Pekerja warga Filipina terjatuh dari kapal, ditemukan meninggal dunia

Read Time:1 Minute, 17 Second

KUDAT: Seorang pekerja lelaki warga Filipina berusia lingkungan 20-an ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh ke laut dari sebuah kapal yang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan, di sini, semalam.

Mangsa ditemukan sekumpulan nelayan yang melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian pada jam 10.20 pagi, Selasa, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam, 26 Oktober lalu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati benar seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke laut dari kapal berkenaan.

“Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu terlebih dahulu melakukan usaha pencarian dengan menyelam di sekitar jeti dan lokasi mangsa dipercayai terjatuh, namun gagal menemukannya.

“Pasukan bomba bersama polis kemudian menjalankan operasi pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan persekitaran yang gelap sebelum disambung semula pada jam 9.20 pagi keesokan harinya menggunakan bot penyelamat bomba.

Mangsa kemudian ditemukan sekumpulan nelayan yang melakukan selaman sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang membabitkan 14 anggota bomba, termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat, bersama agensi lain iaitu polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Electricity teroka mobiliti hijau menerusi projek perintis EV Bike

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular