HomeUtamaAnugerah buku terbaik Ketua Menteri Sabah kembali dianjurkan

Anugerah buku terbaik Ketua Menteri Sabah kembali dianjurkan

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah kembali dianjurkan pada 11 November ini sebagai usaha menggalakkan lebih ramai penulis, pensyarah, penyelidik dan golongan profesional menghasilkan karya berkualiti dalam pelbagai bidang.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hazami Jahari, berkata anugerah berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh sinergi antara DBP dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam bidang penerbitan.

Beliau berkata, penganjuran anugerah itu penting dalam memberikan pengiktirafan kepada penulis yang berjaya menghasilkan buku umum, ilmiah dan separa ilmiah yang berkualiti serta mempunyai nilai ilmu kepada masyarakat.

“Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menjalin sinergi dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam bidang penerbitan, menggalakkan penulis, pensyarah, penyelidik dan golongan profesional dalam kalangan warga Sabah menulis buku umum, buku ilmiah dan separa ilmiah dalam pelbagai bidang.

“Selain itu, ia memberikan penghargaan kepada penulis yang berjaya menghasilkan bahan bacaan berkualiti khususnya buku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, di sini, pada Selasa.

Menurut Hazami, Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah pertama kali diperkenalkan pada 2015 dengan nama Anugerah Buku Umum Terbaik Ketua Menteri Sabah.

Katanya, anugerah itu telah dilaksanakan sebanyak tiga kali pada 2015, 2016 dan 2017 sebelum menggunakan nama Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah mulai 2022.

“Pada 2022, buku-buku yang diterbitkan pada 2020 dan 2021 bagi kategori terbitan DBP dan terbitan penerbit luar telah dinilai, manakala majlis penyampaian anugerah diadakan pada 2023,” katanya.

Hazami berkata, penganjuran semula anugerah itu tahun ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan industri penerbitan di Sabah, di samping menggalakkan lebih banyak karya berkualiti dihasilkan oleh penulis tempatan.

Katanya, karya yang diterbitkan bukan sahaja dapat memperkaya khazanah ilmu, malah berperanan merakam pengalaman, pemikiran, sejarah serta nilai budaya masyarakat Sabah untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah, DBP dan semua rakan strategik terus diperkukuh dalam memajukan bidang penerbitan, bahasa dan persuratan di negeri ini.

Hazami turut berharap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, dapat menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah pada 11 November ini.

Penganjuran semula anugerah itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh budaya ilmu dan kesusasteraan di Sabah, termasuk aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera.

RELATED ARTICLES
Utama

Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah AKPS belum dimuktamadkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular