BANGGI: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah terus memperluas penyampaian maklumat kerajaan kepada golongan pelajar menerusi program PENTARAMA Dengar Dulu @ SMK Banggi.
Program yang berlangsung di Dewan Terbuka Banggi pada Jumaat itu memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan kenegaraan, termasuk inisiatif dan manfaat Belanjawan 2027.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, Qaireen Qairina, 15, berkata pendekatan penyampaian secara langsung oleh JAPEN Sabah memudahkannya memahami maklumat berkaitan kenegaraan dan belanjawan.
“Program ini sangat bagus dan mudah untuk kami fahami. Sekurang-kurangnya, kami mendapat pengetahuan mengenai maklumat belanjawan.
“Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan di sini supaya bukan sahaja pelajar, malah masyarakat setempat turut mendapat lebih banyak pengetahuan,” katanya ketika ditemui media pada program berkenaan.

Sementara itu, guru SMK Banggi, Muhamad Hanif Makhtar, 25, menyifatkan peningkatan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM150 kepada RM200 sebagai satu inisiatif baik kerajaan dalam membantu pelajar, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan di Pulau Banggi.
“Bagi saya, ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik daripada kerajaan kerana dapat membantu anak-anak di sekolah, terutamanya di kawasan pedalaman seperti Pulau Banggi yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Bantuan berkenaan dapat membantu keluarga memenuhi keperluan persekolahan anak-anak, manakala bantuan RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam pula dapat digunakan untuk membeli keperluan sekolah dan menyiapkan kerja kursus.
“Harapan saya supaya belanjawan ini diagihkan dengan baik dan adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan masyarakat agar semua pihak dapat menerima manfaatnya,” katanya.
Antara pengisian program ialah persembahan PENTARAMA, ceramah berkaitan manfaat Belanjawan 2027, sesi kesedaran pencegahan buli serta kuiz interaktif bersama pelajar.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Azman Sipan; Penolong Kanan Pentadbiran SMK Banggi, Madrouf Said; dan Ketua Balai Karakit, ASP Mohd Yassin.



