Oleh Wan Azrain Adnan:
Membimbangkan, jumlah kes buli di sekolah telah meningkat dengan ketara, sehinggakan mencetus keresahan ibu bapa, pelajar dan semua pihak berkepentingan. Seiringan, jumlah kes bagi beberapa kategori jenayah di Malaysia juga telah merekodkan peningkatan.
Minggu lepas, semasa Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Malaysia memaklumkan, sepanjang tempoh masa enam bulan (Mac – Ogos 2026), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merekodkan sebanyak 4,289 kes salah laku buli. Jumlah ini merangkumi empat kategori kes buli:
| Kategori Kes Buli | Jumlah Kes |
| Fizikal | 2,480 |
| Lisan | 1,386 |
| Bukan Lisan | 243 |
| Siber | 180 |
Sebelum itu, pada bulan Februari 2026, beliau memaklumkan sebanyak 2,889 kes buli telah direkodkan sepanjang tahun 2025, dengan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah.
Ini bermakna jumlah kes buli bagi enam bulan pada tahun 2026 (4,289 kes) sahaja sudah melebihi 48% (1,400 kes) berbanding jumlah keseluruhan kes buli pada tahun 2025 (2,889 kes).
Peningkatan besar ini membimbangkan semua pihak berkepentingan, terutamanya ibu bapa, pelajar dan guru. Di tambah pula dengan beberapa kes bunuh yang berlaku di sekolah baru-baru ini. Walaupun jumlah kes yang berlaku adalah kecil berbanding dengan jumlah pelajar dan sekolah di seluruh negara, kes-kes yang berlaku telah menimbulkan persepsi sekolah tidak lagi selamat dan kondusif untuk warga sekolah.
Fakta menarik. Berdasarkan laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada tahun 2025, terdapat 10,238 sekolah, 4,937,247 pelajar dan 407,866 guru di seluruh negara.
| Sekolah | Sekolah | Pelajar | Guru |
| Rendah | 7,778 | 2,753,523 | 227,380 |
| Menengah | 2,460 | 2,183,724 | 180,486 |
| Jumlah | 10,238 | 4,937,247 | 407,866 |
Bagi menangani isu berkenaan dan meredakan keresahan semua pihak, KPM sudah pun mengambil beberapa langkah. Antara lain, langkah-langkah ini termasuklah: pemasangan kamera litar tertutup (CCTV); program sokongan kesihatan mental dan psikososial dengan penempatan baharu 523 Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah; kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lawatan berkala ke sekolah; penempatan 300 Pembantu Warden Asrama (MyPWA) di sekolah berasrama.
Saidina Ali bin Ali Talib R.A pernah berkata: Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini. Dengan pelbagai kes melibatkan pelajar di sekolah, apakah masa depan negara?
Seiringan dengan peningkatan kes buli di sekolah, beberapa kategori kes jenayah di Malaysia juga telah meningkat, berdasarkan Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada minggu lepas.
Pada tahun 2025, jumlah kes bunuh telah meningkat 3.7%, daripada 243 kes (2024) kepada 252 kes. Jumlah ini merangkumi bunuh dengan niat (248 kes: 98.4%) dan bunuh tanpa niat (4 kes: 1.6%).

Sementara itu, kes jenayah seksual turut meningkat. Pada tahun 2025, kes keganasan seksual berjumlah 7,905 kes, merangkumi serangan seksual (4,562 kes) dan rogol (3,343 kes).
Kes serangan seksual telah meningkat 14.3%, daripada 3,992 kes (2024) kepada 4,562 kes.
Menariknya, bagi kes serangan seksual, bilangan mangsa lelaki telah meningkat 23.0%, daripada 636 orang (2024) kepada 782 orang. Peratusan peningkatan ini adalah lebih besar berbanding peningkatan mangsa perempuan 11.8%, daripada 3,493 orang kepada 3,904 orang.
Seterusnya, bagi jenayah penipuan, kes penipuan bersemuka telah melonjak 85.3% kepada 69,001, berbanding 37,240 (2024). Selain itu, kes penipuan atas talian juga merekodkan jumlah yang besar sebanyak 66,204.
Sebaliknya, bagi beberapa kategori jenayah, walaupun merekodkan penurunan, jumlah kes masih besar. Pada tahun 2025, jenayah melibatkan dadah terkawal atau prekursor berjumlah 262,088 kes. Daripada jumlah tersebut, kes positif urin telah menurun sedikit 2.6% kepada 152,856. Disusuli kes memiliki dadah (65,866), bekalan dadah (21,779), penagih dan penyalah guna dadah dan bahan (21,587).
Bagi kes samun pula, jumlah keseluruhan kes telah menurun 8.4%, daripada 3,394 kes (2024) kepada 3,108 kes. Dalam tempoh masa tersebut, kes samun terhadap individu telah menurun 9.1%. Namun begitu, kes samun terhadap kenderaan telah meningkat 21.9% dan kes samun terhadap premis meningkat 12.5%.

Jumlah kes pecah rumah dan kecurian masih kekal tinggi, dengan kes pecah rumah (14,587) dan kecurian (35,836). Daripada jumlah kes kecurian (35,836) tersebut, kes kecurian harta persendirian (18,477) telah meningkat 2.7% daripada 17,997 (2024). Disusuli oleh kes kecurian kenderaan bermotor atau bahagiannya (13,519), kecurian harta perniagaan (3,122) dan kecurian harta awam (718).
Manakala, kes serangan dan ugutan pula berjumlah 17,230. Daripada jumlah ini, kes keganasan rumah tangga (6,522) kekal tinggi, walaupun telah menurun 8.3%. Disusuli oleh kes serangan (5,859), ugutan (3,706) dan penderaan fizikal kanak-kanak (1,143).
Berdepan dengan kes buli dan jenayah yang tinggi, sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sewajarnya menjadi medan utama untuk menerapkan nilai-nilai murni kemanusiaan bagi membina rakyat yang positif dan produktif.
Namun begitu, di zaman teknologi dan sains masakini, usaha membina generasi yang produktif menjadi lebih mencabar dengan akses mudah kepada pelbagai jenis konten di internet dan media sosial. Dengan pendedahan dari usia muda, internet dan media sosial menjadi rujukan yang membentuk personaliti dan tingkah laku, rata-rata membayangi nilai-nilai pendidikan formal di sekolah dan IPT.



