Wan Azrain Adnan: 13 Oktober 2026
Sabah terus menerima peruntukan besar bagi merancakkan agenda pembangunan. Namun begitu, kelemahan pelaksanaan projek yang dirancang menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati manfaat yang sewajarnya, seterusnya menjejaskan kesejahteraan hidup serta aktiviti ekonomi.
Beberapa hari lepas, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa Sabah akan menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM 18.7 bilion di bawah Belanjawan Malaysia 2027.
Peruntukan besar ini melibatkan pelbagai inisiatif merentasi agenda pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial. Antara lain, ianya merangkumi projek pembangunan infrastruktur awam seperti jalan raya dan bekalan elektrik.
| Jumlah Peruntukan | Projek |
| RM 3.3 bilion | projek jalan raya seperti Pan Borneo Sabah, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) |
| RM 350 juta | projek penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, khusus kepada kontraktor Gred G1 – G4 |
| RM 204 juta | projek meningkatkan bekalan dan kestabilan elektrik, seperti Sistem STATCOM dan Talian Penghantaran Southern Link |
| RM 1.1 bilion | projek menambah baik jalan sekitar Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Miri, serta menaik taraf kemudahan pengangkutan di kawasan berkaitan |
Peruntukan yang besar ini sudah pasti boleh melonjakkan pembangunan Sabah. Sektor-sektor ekonomi Sabah dapat berkembang. Seiringan, Sabah berpotensi menerima lebih banyak pelaburan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah. Dengan itu, rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan awam yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi.
Namun begitu, manfaat tersebut hanya dapat dinikmati oleh rakyat Sabah sekiranya projek-projek yang diperuntukkan dapat dilaksanakan dan diterjemahkan secara tersusun mengikut kos, jadual serta parameter projek. Sebarang kelewatan dan kegagalan pelaksanaan akan menafikan hak rakyat Sabah menikmati manfaat yang sewajarnya.
Pada awal bulan Oktober 2026, Ketua Audit Negara telah menerbitkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 (LKAN 2/2026) – Aktiviti Kementerian/ Jabatan Kerajaan Persekutuan. Salah satu komponen laporan yang ditonjolkan ialah berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 (LPBSF1) di bawah Kementerian Kerja Raya Malaysia.
Fakta menarik. Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 merupakan satu projek Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan rangkaian jalan raya dan akses yang lebih selamat kepada pengguna di Sabah. Ianya dilaksanakan selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) 9.1, iaitu menyumbang dalam membangunkan infrastruktur yang berkualiti, boleh dipercayai, mampan dan berdaya tahan, termasuk infrastruktur serantau dan rentas sempadan, untuk menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan manusia, dengan tumpuan kepada mampu milik dan kesaksamaan untuk semua.
Projek LPBSF1 melibatkan pembinaan jalan raya baharu dua lorong dua hala dan empat lorong dua hala mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) Rural Road Standard 5 (R5), serta naik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR R5/Urban Road Standard 5.
Secara keseluruhan, Projek LPBSF1 merentas jarak 706 km dan tiga jajaran utama: Sindumin – Kota Kinabalu – Kudat; Ranau – Mile 32 Sandakan; Mile 32 Sandakan – Tawau.
Projek LPBSF1 telah bermula dengan pelantikan Project Delivery Partner (PDP) pada bulan April 2016. Malangnya, pelaksanaannya telah menghadapi pelbagai isu yang telah menyebabkan kemajuan projek yang perlahan. Kelewatan pelaksanaan projek menjadi sangat serius sehinggakan Kerajaan Malaysia telah menamatkan kontrak perkhidmatan PDP pada bulan September 2019. Ketika itu, status sebenar projek hanyalah 12.8%, berbanding 41.9% kemajuan kerja yang sepatutnya.
Sejurus itu, Kerajaan Malaysia telah menyerahkan pengurusan Projek LPBSF1 kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), di mana KKR sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai agensi pelaksana.
LKAN 2/2026 menunjukkan pelaksanaan Projek LPBSF1 tersasar jauh dari perancangan asal, dengan tempoh projek selama 69 bulan (April 2016 – Disember 2021). Tetapi, selepas sepuluh tahun, setakat 31 Mac 2026, hanya empat pakej (11.4%) Projek LPBSF1 telah berjaya disiapkan, dengan 31 pakej (88.6%) masih dalam pelaksanaan.
Daripada 31 pakej yang masih dalam pelaksanaan, 9 (25.7%) pakej kerja mendahului jadual, 13 (37.2%) pakej kerja lewat jadual dan 9 (25.7%) pakej kerja ialah projek sakit dengan kelewatan melebihi 20% atau 60 hari daripada jadual.
Oleh itu, tempoh siap Projek LPBSF1 telah dilanjutkan sehingga tahun 2030.
Isu-isu kelewatan yang dikenalpasti oleh LKAN 2/2026 merangkumi aspek perancangan, pemantauan, penyelarasan antara agensi, pentadbiran kontrak serta tatakelola. Antara lain, ini termasuklah: perubahan reka bentuk, penyediaan tapak projek, ketidakpatuhan terhadap peraturan dan syarat kontrak, dokumen kontrak lewat disempurnakan, pembayaran terhadap perbelanjaan yang tidak sepatutnya, Arahan Perubahan Kerja (APK) diluluskan melebihi had ditetapkan.
Bayangkan, nilai terkumpul APK yang diluluskan melebihi had kelulusan Jawatankuasa berjumlah RM 513.99 juta melibatkan 15 pakej kerja Fasa 1A.
Akibatnya, kelewatan berkenaan telah memberi kesan kepada tempoh pelaksanaan dan kos projek, di mana kos kontrak keseluruhan Projek LPBSF1 telah meningkat daripada RM 17.910 bilion kepada RM 18.960 bilion.
Sebagai contoh, kos semasa Projek LPBS Fasa 1A kini dianggarkan berjumlah RM 11.323 bilion, iaitu RM 0.987 bilion (9.5%) lebih tinggi berbanding kos siling asal berjumlah RM 10.336 bilion.
LKAN 2/2026 menyatakan projek ini tidak akan dapat disiapkan tanpa kelulusan peruntukan tambahan oleh Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, Ketua Audit Negara telah menggariskan beberapa Syor Audit kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Sabah bagi menambah baik pengurusan Projek LPBSF1, serta memastikan isu kelemahan yang ditonjolkan tidak berulang.
Antara Syor Audit berkenaan ialah: memuktamadkan penilaian kadar harga bagi item APK mengikut syarat kontrak; mengarahkan kontraktor melaksana APK dan meneruskan kerja sementara penyelesaian pertikaian; memastikan pemantauan keseluruhan projek secara optimum menerusi Sistem Maklumat Projek.
Sebenarnya, kelemahan pelaksanaan Projek LPBSF1 ini bukanlah yang pertama ditonjolkan oleh Ketua Audit Negara berkaitan Sabah. Dan kemungkinan besar juga bukan yang terakhir. Dua tahun lepas, pada bulan Julai 2024, Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 (LKAN 2/2024) telah menonjolkan kelemahan dan kelewatan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah, yang dikendalikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia (KKDW).
Menurut LKAN 2/2024, sebanyak 477 projek bekalan air luar bandar telah di rancang untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2011 – 2015) dan Rancangan Malaysia ke-11 (2016 – 2020), dengan peruntukan sebanyak RM 1.735 billion. Malangnya, sehingga bulan Oktober 2023, sebanyak 24 projek BALB di Sabah berdepan dengan kelewatan di antara 5 hingga 7 tahun.
Akibatnya, LKAN 2/2024 menunjukkan lebih 22,000 rumah di Sabah tidak mendapat bekalan air bersih terawat, melibatkan sekitar 100,000 orang, merangkumi kira-kira 3% daripada jumlah penduduk Sabah.
Justeru itu, projek-projek yang dirancang mestilah dilaksanakan berdasarkan kos, parameter dan jadual projek yang telah ditetapkan, serta pelantikan kontraktor yang berwibawa. Rata-rata, sebahagian besar isu kelewatan yang ditonjolkan boleh dielakkan dengan pengurusan dan pemantauan yang efektif.
Ramai rakyat Sabah sudah lama menantikan kemudahan awam yang lebih baik dan akses yang lebih menyeluruh. Nampaknya, penantian ini masih berlanjutan ekoran pelaksanaan projek yang tidak tersusun dan tidak cekap.



