HomePendapatBelanjawan 2027 : Sabah Terima Suntikan RM18.7 Bilion Lonjak Pembangunan Sabah, Sejahterakan...

Belanjawan 2027 : Sabah Terima Suntikan RM18.7 Bilion Lonjak Pembangunan Sabah, Sejahterakan Rakyat

Read Time:5 Minute, 28 Second

Oleh Wan Azrain


Sabah terus mendapat suntikan untuk melonjakkan agenda pembangunan ekonomi dan sosial. Dengan itu, Sabah bakal menjadi lebih makmur, dan kehidupan rakyat Sabah lebih sejahtera.  

Minggu lalu Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan Belanjawan Malaysia 2027, iaitu belanjawan kelima Kerajaan Malaysia Madani, berjumlah RM 510 bilion.

Beliau menjelaskan, dengan tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan Malaysia 2027 merangkumi lapan lunas utama bertujuan  untuk memperkukuh daya tahan dan masa depan negara, serta mengangkat martabat dan kesejahteraan hidup rakyat di semua peringkat.

Seiringan dengan saiz Belanjawan Malaysia 2027 yang lebih besar, Sabah telah menerima agihan peruntukan yang lebih besar serta tertinggi berbanding seluruh negeri dan wilayah. Bagi tahun 2027, Sabah akan menerima peruntukan sebanyak RM 18.7 bilion, meningkat 6% daripada RM 17.6 bilion di bawah Belanjawan Malaysia 2026.

Jumlah peruntukan yang besar ini jelas menggariskan tekad Kerajaan Malaysia untuk melonjak agenda pembangunan Sabah, yang sudah tertinggal dan terpinggir untuk sekian lama. Pada masa sama, ianya menggambarkan kesefahaman dan  kerjasama rapat Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah, yang membolehkan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan secara tersusun.      

Sebahagian besar peruntukan RM 18.7 bilion berkenaan ialah bagi menangani isu-isu legasi dengan meningkatkan infrastruktur awam, dan insiatif yang merentasi pelbagai sektor ekonomi. Antara lain, ianya melibatkan:

  • RM 3.3 bilion: untuk meningkatkan jalinan keterhubungan fizikal, seperti projek Pan Borneo Sabah, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB)
  • RM 350 juta: untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, khusus kepada kontraktor Gred G1 – G4
  • RM 204 juta: untuk meningkatkan bekalan dan kestabilan elektrik, seperti projek Sistem STATCOM di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud, serta Talian Penghantaran Southern Link
  • RM 1.1 bilion: untuk menambah baik jalan sekitar Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Miri, selain menaik taraf kemudahan pengangkutan di kawasan berkaitan
  • insentif pembajakan sawah sebanyak RM 300 sehektar disediakan untuk pesawah di Sabah dan Sarawak 

Tambahan lagi, peruntukan besar juga disediakan untuk memperkasa agenda pendidikan dan pembangunan modal insan di Sabah, bagi membina masyarakat yang memiliki pengetahuan dan kemahiran:

  • RM 1.3 bilion: untuk menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, dengan keutamaan kepada Sabah dan Sarawak
  • tajaan pendidikan tinggi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk 4,200 pelajar Sabah dan Sarawak setiap tahun

Selain itu, Perdana Menteri Malaysia turut menyatakan bahawa pembayaran Geran Khas Tahunan interim sebanyak RM 1.5 bilion kepada Sabah akan dibuat sebelum hujung tahun 2026, sementara rundingan diteruskan untuk memuktamadkan formula pembayaran yang adil dan mampan.

Menurut beliau, Kerajaan Malaysia Madani telah meneliti dan meningkatkan kadar pembayaran Geran Khas Tahunan sebanyak tiga kali. 

Komitmen Kerajaan Malaysia untuk memenuhi hak Sabah semakin terserlah di mana, sepanjang tempoh masa enam tahun (2020 – 2026), kadar Geran Khas Tahunan berkenaan telah meningkat berlipat kali ganda, daripada RM 53.4 juta kepada RM 1.5 bilion.

Tahun202020222023202420252026
Jumlah GeranRM 53.4 jutaRM 125.6 jutaRM 260 jutaRM 300 jutaRM 600 jutaRM 1.5 bilion

Namun begitu, jumlah RM 1.5 bilion ini masih jauh kecil berbanding dengan anggaran awal sekitar RM 4 bilion yang sewajarnya diterima oleh Sabah. Justeru itu, rakyat Sabah masih menanti dan mengharap pembayaran penuh Geran Khas Tahunan dapat dibuat segera, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

Ketidakadilan ini sudah pun berlanjutan lebih 50 tahun, sejak tahun 1974.  

Sejurus pembentangan tersebut, Ketua Menteri Sabah berkata Belanjawan Malaysia 2027 adalah komprehensif dan menggambarkan kekukuhan ekonomi negara. Dengan pelbagai insentif dan pengurangan cukai, beban kewangan seluruh lapisan masyarakat dapat dikurangkan.

Manakala, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata Belanjawan Malaysia 2027 yang turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan akan dapat menyokong penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027. Peruntukan yang tersedia boleh membantu Sabah untuk meningkatkan promosi destinasi, pembangunan produk pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) dilaporkan melihat Belanjawan Malaysia 2027 sebagai peneraju pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak, dengan pelbagai inisiatif dan projek seperti FlySiswa, tajaan pendidikan tinggi, menaik taraf sekolah daif, bantuan awal persekolahan, program makanan di sekolah serta elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.

Dengan peruntukan besar RM 18.7 bilion, agenda pembangunan Sabah dapat diperkasa, dan mendukung momentum yang telah dibina setakat ini. Pada tahun 2025, Sabah telah merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi pada kadar 5.1%, setelah pertumbuhan KDNK yang perlahan pada tahun 2023 dan 2024.

Nilai KDNK Sabah pula telah meningkat kepada RM 88.8 bilion, berbanding RM 84.5 bilion (2024).

Tahun202020212022202320242025
KDNK Sabah-9.1%1.5%4.0%1.6%1.2%5.1%

Pada masa sama, sektor-sektor ekonomi di Sabah telah merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun 2025: Perkhidmatan (4.5%), Pembuatan (5.0%), Perlombongan & Pengkuarian (4.9%) dan Pertanian (0.9%).

Lebih memberangsangkan, sektor Pembinaan Sabah telah merekodkan pertumbuhan 28.3%, tertinggi di seluruh Malaysia pada tahun 2025. Oleh itu, dengan peruntukan besar di bawah Belanjawan Malaysia 2027 untuk projek-projek pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan sekolah, sektor Pembinaan Sabah sudah pasti akan kekal rancak dan merekodkan pertumbuhan yang tinggi.   

Selari dengan pertumbuhan KDNK yang tinggi tersebut, Sabah telah menerima jumlah pelaburan yang besar sebanyak RM 14.55 bilion pada tahun 2025. Ini merupakan lonjakan lebih dua kali ganda daripada RM 6.45 bilion pada tahun 2024.


Akhirnya, pertumbuhan KDNK serta pelaburan yang tinggi tersebut telah dapat dinikmati oleh rakyat Sabah, di mana kadar pengangguran telah menurun kepada 5.5% dan jumlah penganggur telah menurun kepada 103.4 ribu orang bagi Suku Pertama Tahun 2026.

Di samping itu, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan kadar Gaji Minimum negara baru bermula bulan Jun 2027, meningkat daripada RM 1,700 kepada RM 2,000. Kadar Gaji Minimum yang lebih tinggi ini dapat memberi kesejahteraan kepada ramai pekerja di Sabah yang masih menerima gaji yang rendah berbanding lain-lain negeri dan wilayah di Malaysia.

Berdasarkan Laporan Survei Gaji & Upah 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan September 2026, Penengah Gaji & Upah Bulanan pekerja di Sabah ialah RM 2,482, keenam terendah di Malaysia. Penengah Gaji & Upah Bulanan nasional ialah RM 2,940.

Manakala, Purata Gaji & Upah Bulanan pekerja di Sabah ialah RM 3,421, berbanding paras nasional RM 3,803.

Maka, peruntukan besar yang diterima Sabah akan dapat menjayakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0: 2026 – 2030 yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah, untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah secara mampan dan inklusif.

Dengan itu, Sabah akan terus maju dan sejahtera di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13: 2026 – 2030), dan mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8% setahun.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada unsur Zara ditolak atau dibunuh – Pegawai penyiasat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular