HomeUtamaDua ahli ‘Geng Gurun’ dipenjara atas pelbagai kesalahan

Dua ahli ‘Geng Gurun’ dipenjara atas pelbagai kesalahan

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Filipina yang dikenali sebagai ‘Geng Gurun’ dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini atas pelbagai kesalahan.

Kedua-duanya dipercayai terbabit dalam kegiatan memecah masuk rumah dan mencuri barangan, termasuk milik seorang ahli politik.

Sahiron Redzgilul, 34, dan Mohd Khairul Eskam, 25, masing-masing mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin pada Jumaat.

Bagi pertuduhan pertama, Sahiron dijatuhi hukuman penjara 13 bulan kerana menyembunyikan secara sukarela sebuah peti besi curi milik ahli politik berkenaan di tepi jalan kawasan Suria Inanam, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 September lalu.

Dia melakukan kesalahan itu bersama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas, mengikut Seksyen 414/34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sahiron dipenjara 10 bulan kerana memiliki tiga beg tangan berjenama yang dicuri milik seorang wanita berusia 73 tahun di kawasan parkir kereta di Lorong Indah Permai Shophouse, dekat sini, kira-kira jam 2 petang pada 13 September lalu.

Sahiron turut dijatuhi hukuman penjara 20 bulan bagi pertuduhan ketiga kerana melupuskan seutas jam tangan berjenama yang dicuri milik seorang lelaki berusia 46 tahun di sebuah rumah di Jalan 1C, KKIP Selatan, dekat sini, kira-kira jam 6.10 pagi pada 14 September lalu.

Sementara itu, Mohd Khairul dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan pertama kerana membantu menyembunyikan sebuah mesin pencetak resit dan laci mesin daftar tunai yang dicuri milik seorang lelaki berusia 43 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Skim Penempatan Semula Telipok, di sini, kira-kira jam 3.45 petang pada 26 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Khairul dipenjara tujuh bulan kerana memecah masuk sebuah rumah dengan niat mencuri di Taman Wawasan Mahandoi, Penampang, kira-kira jam 7 pagi pada 3 Ogos lalu.

Dia melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas.

Mohd Khairul turut dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan ketiga kerana menyembunyikan secara tidak jujur sebuah kamera berjenama yang dicuri milik seorang lelaki berusia 42 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Warisan Inanam, di sini, kira-kira jam 3.15 petang pada 23 Oktober lalu.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan masing-masing dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Kali ketiga ambil syabu, lelaki dipenjara lima tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular