HomeUtamaMasiung cadang Sabah jadi hab pembangunan tenaga nuklear negara

Masiung cadang Sabah jadi hab pembangunan tenaga nuklear negara

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Cadangan menjadikan Sabah sebagai hab pangkalan pertama pembangunan tenaga nuklear negara dikemukakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, sebagai langkah strategik memperkukuh bekalan elektrik jangka panjang negara.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia meneroka pembangunan tenaga nuklear selaras dengan keperluan tenaga sebuah negara yang menyasarkan status negara maju menjelang 2030.

“Sabah berpotensi dijadikan lokasi pembangunan program berimpak tinggi itu menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Cadangan berkenaan juga boleh dibawa ke peringkat rundingan menerusi kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu turut mengambil kira kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini bahawa Sabah dan Semenanjung merupakan antara lokasi paling praktikal untuk pembangunan loji tenaga nuklear bagi dekad akan datang sekiranya negara bersetuju melaksanakan cadangan berkenaan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilaporkan berkata, Sarawak mempunyai kedudukan lebih kukuh dari segi bekalan tenaga menerusi sumbangan hidroelektrik Bakun yang membekalkan kira-kira 70 peratus keperluan tenaga di wilayah itu.

Masiung berkata, keupayaan bekalan elektrik di Sabah masih berdepan cabaran dan jauh ketinggalan berbanding kemajuan infrastruktur utiliti di Semenanjung.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggunaan teknologi Tenaga Nuklear Terapung (Floating Nuclear Power Plant – FNPP) yang menurutnya menawarkan fleksibiliti dari segi kos dan tempoh pembinaan, selain berpotensi disesuaikan dengan keadaan geografi Sabah yang mempunyai garis pantai luas.

Katanya, negara tidak boleh terus bergantung kepada bahan api fosil sebagai sumber utama penjanaan elektrik, terutama apabila bekalan arang batu dan gas asli berdepan kekangan, manakala sebahagian keperluannya perlu diimport.

Beliau berkata, ketegangan geopolitik di Selat Hormuz serta ketidaktentuan pasaran tenaga global mengukuhkan keperluan negara merangka strategi bekalan tenaga jangka panjang yang lebih terjamin.

“BBC melihat kerajaan Sabah perlu bersedia menghadapi peningkatan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031, selain mengurangkan kebergantungan kepada gas asli dan diesel yang terdedah kepada ketidaktentuan pasaran global.

“Penggunaan teknologi FNPP berpotensi menawarkan pilihan lebih fleksibel dari segi kos dan pelaksanaan pembinaan berbanding loji nuklear konvensional di daratan,” katanya.

Masiung berharap cadangan pembangunan program tenaga nuklear terapung di Sabah itu dapat diperhalusi dan dibawa ke peringkat rundingan menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Wakil rakyat Kuamut itu berkata, penerokaan teknologi berkenaan juga boleh menjadi antara pendekatan strategik negara untuk mengurangkan pelepasan karbon secara besar-besaran.

RELATED ARTICLES
Utama

62 sekolah di Sabah terima 1,700 kit bantu murid kuasai 3M

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular