HomeUtama62 sekolah di Sabah terima 1,700 kit bantu murid kuasai 3M

62 sekolah di Sabah terima 1,700 kit bantu murid kuasai 3M

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 62 sekolah di bawah 15 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sabah menerima kira-kira 1,700 kit pembelajaran bagi membantu murid pemulihan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Pengagihan itu dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HIUMS) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) 2026: Pemerkasaan 3M Murid Pemulihan Sabah.

Ketua Penyelidik PAK 2026, Dr Juppri Bacotang berkata, inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan sokongan pembelajaran kepada murid yang masih memerlukan bimbingan tambahan untuk menguasai kemahiran asas 3M.

Menurutnya, pengagihan yang dilaksanakan secara berperingkat dari September hingga Oktober 2026 itu merangkumi sekolah di kawasan bandar, luar bandar, pedalaman, pesisir pantai dan pulau.

Beliau berkata, setiap kit mengandungi beg, alat tulis, pensel warna dan buku pembelajaran 3M yang digunakan bagi menyokong pelaksanaan Modul CERIA 3M Sabah.

“Kit pembelajaran ini bukan sekadar menyediakan kelengkapan pendidikan, malah diharap dapat meningkatkan keyakinan murid bahawa mereka juga berupaya mencapai kejayaan seperti rakan-rakan lain.

“Setiap anak mempunyai potensi untuk berjaya, cuma ada yang memerlukan lebih masa dan bimbingan untuk menguasai sesuatu kemahiran,” katanya.

Juppri berkata, bahan pembelajaran itu turut menggabungkan pendekatan pengajaran secara langsung menerusi aktiviti latih tubi, selain pendekatan didik hibur dengan penerapan elemen tempatan Sabah dalam Modul CERIA 3M bagi meningkatkan motivasi murid.

PAK 2026 merupakan inisiatif nasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui bersama Unit Pantau MADANI di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Hasanah, dengan HIUMS bertindak sebagai rakan pelaksana program.

RELATED ARTICLES
Utama

Nelayan rakan strategik Maritim Malaysia jaga keselamatan perairan negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular