HomeUtamaNelayan rakan strategik Maritim Malaysia jaga keselamatan perairan negara

Nelayan rakan strategik Maritim Malaysia jaga keselamatan perairan negara

Read Time:2 Minute, 2 Second

KUDAT: Komuniti nelayan merupakan antara rakan strategik penting Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam membantu memastikan keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, pengetahuan serta maklumat yang dimiliki komuniti nelayan amat bernilai dalam membantu pihak berkuasa mengesan sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan di laut.

Beliau berkata, Kudat mempunyai kedudukan strategik dari sudut maritim memandangkan aktiviti perikanan, pengangkutan laut dan perdagangan di kawasan itu banyak bergantung kepada keselamatan perairannya.

“Oleh itu, saya menyeru masyarakat supaya tidak teragak-agak menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan perairan negara.

“Menjaga keselamatan perairan bukan tanggungjawab Maritim Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama jabatan kerajaan, agensi penguatkuasaan, sektor korporat, persatuan nelayan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sahabat Maritim Zon Kudat 2026 di Esplanade Sidek, di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pengguna laut supaya sentiasa memastikan bot berada dalam keadaan baik, memakai jaket keselamatan, peka terhadap keadaan cuaca semasa serta melengkapkan bot dengan peralatan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik utama program, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), serta rakan kerjasama lain termasuk Hibiscus Petroleum, agensi kerajaan dan Persatuan Nelayan atas sokongan dalam menjayakan program berkenaan.

Katanya, kerjasama itu diharap dapat terus diperkukuh bagi memastikan hubungan strategik antara semua pihak kekal erat pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pengeluaran PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Mohd Fariq Mohd Yasin berkata, komuniti nelayan dan pemain industri minyak dan gas merupakan dua pihak penting yang saling melengkapi dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Nelayan mencari dan menangkap ikan di laut, manakala kami pula mencari dan mengeluarkan minyak dan gas. Kita sama-sama penting kepada ekonomi negara.

“PETRONAS mengeluarkan minyak mentah yang diproses menjadi petrol dan diesel, manakala gas yang didaratkan dari pelantar digunakan untuk menjana bekalan elektrik kepada rakyat.

“Saya berharap hubungan ini akan terus terjalin supaya kita dapat bersama-sama menjana ekonomi yang lebih baik untuk negara,” katanya.

Pada program itu, PETRONAS turut menyampaikan sumbangan berupa peralatan perikanan dan barangan makanan kepada kira-kira 200 nelayan di sekitar Kudat.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kudat, Salahuddin Awang Kassim; Penolong Superintenden Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, Roning Mulut; serta wakil PETRONAS, PETRONAS Floating LNG dan Hibiscus Petroleum.

RELATED ARTICLES
Utama

62 sekolah di Sabah terima 1,700 kit bantu murid kuasai 3M

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular