Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyalurkan insentif kemenangan berjumlah RM100,000 kepada pasukan bola sepak wanita Sabah FA sebagai penghargaan atas kejayaan muncul juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2026.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemberian insentif atas inisiatif Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu mencerminkan penghargaan serta sokongan kerajaan negeri terhadap pencapaian cemerlang pasukan berkenaan.
Beliau berkata, insentif wang tunai itu merupakan pemberian julung kali dilaksanakan kerajaan negeri khusus kepada pasukan bola sepak wanita Sabah.

Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan, komitmen dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain dalam memastikan kejuaraan menjadi milik Sabah.
“Perkara paling penting bukanlah nilai RM100,000 itu, tetapi kesungguhan kerajaan dan sokongan Ketua Menteri terhadap pasukan, khususnya pemain wanita yang telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga ke saat akhir perlawanan.
“Ini menunjukkan bahawa dalam sukan, jika kita mempunyai komitmen dan kesungguhan, insya-Allah kita akan memperoleh kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan cek cura insentif kemenangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah merangkap Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Muhd Arziz Afizy Rumsani di sini pada Jumaat.
Nizam berkata, kerajaan negeri berharap insentif berkenaan dapat menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus meningkatkan prestasi dan mengekalkan kecemerlangan dalam kejohanan akan datang.
Katanya, pemain juga diingatkan supaya terus mempergiat latihan, mematuhi arahan jurulatih serta mengekalkan disiplin dan komitmen tinggi bagi memburu kejayaan lebih besar.
Beliau berkata, kerajaan negeri mahu pasukan bola sepak wanita Sabah terus menjadi antara pasukan yang disegani di peringkat kebangsaan, selain berpeluang mewakili Malaysia dalam kejohanan Asia dan antarabangsa.
Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan serta menggalakkan penyertaan golongan wanita dalam bidang sukan bagi membuka lebih banyak peluang kepada mereka mengharumkan nama Sabah di persada antarabangsa.
Sabah FA menjuarai LWN 2026 buat kali ketiga selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi final, sekali gus mengulangi kejayaan yang diraih pada edisi 2023 dan 2025. – SABAH MEDIA



