HomePolitikUnit Kebajikan Wanita GRS santuni pesakit, salur sumbangan

Unit Kebajikan Wanita GRS santuni pesakit, salur sumbangan

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Keprihatinan terhadap golongan yang berdepan masalah kesihatan dan kesulitan hidup terus menjadi perhatian Unit Kebajikan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi program lawatan kebajikan serta penyampaian sumbangan kepada sembilan penerima di sekitar kawasan Parlimen Sepanggar dan Tuaran, semalam.

Program yang diketuai Pengerusi Unit Kebajikan Wanita GRS, Datin Mary Wong itu menyantuni penerima terdiri daripada warga emas, pesakit buah pinggang kronik, strok dan masalah salur darah, selain seorang bayi yang memerlukan penjagaan susulan selepas menjalani rawatan berkaitan retinopathy of prematurity (ROP).

Antara penerima memerlukan rawatan dialisis sehingga tiga kali seminggu, manakala sebahagian lagi berdepan keperluan penjagaan kesihatan serta bantuan bagi menampung perbelanjaan harian.

Selain menyampaikan sumbangan berdasarkan keperluan penerima, lawatan itu turut memberi ruang kepada pihak berkenaan mendengar sendiri kesukaran yang dihadapi pesakit dan keluarga, sekali gus mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang boleh diusahakan melalui saluran berkaitan.

Mary berkata, inisiatif itu bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan, sebaliknya menjadi platform untuk memahami keadaan sebenar pesakit dan keluarga agar sokongan yang diberikan lebih bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Bagi mereka yang sedang berdepan ujian kesihatan dan kesulitan hidup, kehadiran insan yang mengambil berat serta sudi menghulurkan bantuan pasti membawa makna tersendiri,” katanya.

Turut menyertai program itu ialah Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Setiausaha Kerja Wanita GRS, Fariza Jimmy serta ahli jawatankuasa Unit Kebajikan Wanita GRS, Rizawani Fiona Heng, Risna Ullap, Dato’ Marsya dan Ratna Dewi Rostan.

Usaha berterusan itu diharap dapat membantu meringankan beban pesakit dan keluarga, selain memperkukuh budaya prihatin serta semangat kebersamaan dalam masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Ambuyat bukan sekadar hidangan, warisan budaya borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular