HomeUtamaPBT perlu pastikan bandar, pekan sentiasa bersih - Arifin

PBT perlu pastikan bandar, pekan sentiasa bersih – Arifin

Read Time:1 Minute, 36 Second

SANDAKAN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah perlu memastikan kawasan bandar dan pekan sentiasa bersih, indah serta selesa bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Sabah 2027 (VS2027).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peranan PBT amat penting dalam memastikan kawasan di bawah pentadbiran masing-masing mempunyai keunikan, keindahan dan kebersihan yang mampu menarik kunjungan pelancong.

Beliau berkata, persediaan menghadapi Tahun Melawat Sabah bukan hanya menjadi tanggungjawab kementerian yang menerajui sektor pelancongan, sebaliknya turut memerlukan penglibatan aktif PBT.

“Peranan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama PBT amat penting untuk memastikan keselesaan, keselamatan, keindahan serta kebersihan di kawasan masing-masing yang boleh menarik pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sukan Kerajaan Tempatan Sabah (SKTS) Kali Ke-14 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Sandakan, di sini pada Sabtu.

Arifin berkata, PBT perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mencipta daya tarikan di kawasan masing-masing bagi menjadikan bandar serta pekan di Sabah sebagai destinasi yang menarik untuk dikunjungi.

Menurutnya, aspek kebersihan dan penyelenggaraan persekitaran perlu diberikan perhatian berterusan kerana ia antara perkara yang dapat mempengaruhi pengalaman serta keselesaan pengunjung.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran SKTS di Sandakan turut mengingatkan PBT mengenai kepentingan pengurusan kemudahan awam dan penjagaan kebersihan persekitaran.

Katanya, stadium, padang, dewan, taman awam serta kawasan rekreasi perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan diselenggara dengan baik supaya dapat dimanfaatkan masyarakat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) atas kejayaan menerima pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Standard bagi tempoh 2026 hingga 2028 pada Majlis Anugerah ASEAN Tourism Standard Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya pada 15 Oktober lalu.

Menurutnya, pengiktirafan itu seharusnya menjadi dorongan kepada MPS untuk terus mengekalkan kebersihan, keselesaan dan kualiti persekitaran bandar Sandakan.

Beliau berharap semua PBT di Sabah dapat memperkukuh usaha masing-masing dalam menyediakan persekitaran bandar dan pekan yang berkualiti, sekali gus menyokong usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Mikrogrid solar ubah kehidupan komuniti terpencil di Kampung Layak-Layak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular