KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Jalan Lintas, berhampiran City Mall, kira-kira jam 10.20 malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Isuzu D-Max yang dipandu lelaki berusia 45 tahun dipercayai sedang membuat pusingan U sebelum dilanggar motosikal Honda CBR150 yang bergerak lurus.
Katanya, motosikal berkenaan dipercayai bergerak di lorong kedua dari kiri dari arah Bukit Padang menuju ke Inanam sebelum melanggar bahagian sisi hadapan kiri kenderaan pacuan empat roda itu.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrudin berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 45 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Royston Ubak menerusi talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.



