NABAWAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperuntukkan sebanyak RM600,000 menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI 2026 bagi memperkasa kemudahan infrastruktur serta meningkatkan kemahiran golongan belia di Kampung Murni A, di sini.
Peruntukan itu meliputi RM500,000 bagi pelaksanaan dua projek utama, iaitu pembinaan semula dewan komuniti dan menaik taraf gelanggang futsal, manakala RM100,000 lagi disalurkan bagi pelaksanaan program latihan kemahiran menerusi TVET On-The-Job Training (TVET-OTJT).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif Kampung Angkat MADANI mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan negara turut dinikmati masyarakat di kawasan desa dan pedalaman.

Katanya, kemudahan asas serta taraf hidup penduduk kampung perlu dipertingkatkan secara langsung, nyata dan segera bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Inisiatif Kampung Angkat MADANI dicetuskan oleh Kerajaan MADANI dengan satu prinsip yang jelas, iaitu pembangunan negara tidak boleh meninggalkan desa dan kawasan pedalaman.
“Kemudahan asas dan taraf hidup rakyat di kampung mesti dipertingkatkan secara langsung, nyata dan segera,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI NRES 2026 di Kampung Murni A, di sini.
Beliau berkata, pembinaan semula dewan komuniti itu menyediakan ruang lebih selesa kepada penduduk untuk mengadakan perjumpaan, perbincangan, majlis keramaian serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Sementara itu, gelanggang futsal yang dinaik taraf pula diharap dapat menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan belia, selain menyediakan kemudahan sukan yang lebih selamat dan sesuai untuk mengembangkan bakat anak muda di kampung berkenaan.
Menurutnya, pembangunan kampung bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal, malah turut merangkumi usaha membangunkan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sehubungan itu, NRES melaksanakan program TVET-OTJT dengan kerjasama GIATMARA Keningau bagi memberikan latihan amali dan kemahiran teknikal kepada belia Kampung Murni A.
Menerusi program berkenaan, peserta berjaya memasang sebanyak 25 tiang lampu solar di laluan strategik sekitar kampung hasil kemahiran yang diperoleh sepanjang latihan.
Pemasangan lampu solar itu bukan sahaja meningkatkan pencahayaan dan keselamatan laluan kampung pada waktu malam, khususnya kepada wanita dan kanak-kanak, malah membantu menjimatkan kos tenaga serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
Lebih penting, peserta turut memperoleh sijil dan kemahiran teknikal dalam bidang tenaga boleh baharu, khususnya teknologi solar, yang berpotensi meningkatkan peluang mereka menceburi bidang pekerjaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Arthur mengingatkan penduduk supaya bersama-sama menjaga dan memelihara kemudahan yang disediakan kerana ia merupakan aset serta hak milik bersama seluruh komuniti.
Beliau berharap kemudahan berkenaan dapat menyemarakkan semangat gotong-royong, memperkukuh perpaduan masyarakat serta melahirkan generasi muda yang sihat, berkemahiran dan berdaya saing.
Katanya, NRES akan terus komited mendampingi masyarakat serta mendengar keperluan rakyat di Nabawan dan seluruh pelosok Sabah bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.



