KOTA KINABALU: Kontraktor pelaksana Projek Tebatan Banjir (RTB) Fasa 1 Sungai Rampayan di sini diberi tempoh sehingga penghujung Disember ini untuk menyiapkan baki lima peratus kerja yang masih belum diselesaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, kelewatan menyiapkan projek berkenaan perlu diberi perhatian serius memandangkan pelaksanaannya sudah mengambil masa yang agak lama.
Beliau berkata, sehingga kini hanya lima peratus kerja masih berbaki dan kontraktor perlu memastikan keseluruhan projek dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

“Untuk projek ini, mengikut pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kontraktor, ia mesti disiapkan hujung bulan Disember ini.
“Kita sudah menunggu terlalu lama. Jadi, projek ini perlu disiapkan supaya dapat diserahkan kepada JPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Sungai Rampayan bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek berkenaan, di sini pada Selasa.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, penyiapan projek Fasa 1 itu penting bagi membolehkan JPS meneruskan kerja penyelenggaraan sungai secara berjadual dan lebih teratur.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa tindakan turut dikenal pasti bagi memperbaiki aliran air Sungai Rampayan, termasuk merobohkan jambatan lama berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan.
Selain itu, kerja pengorekan sungai dari kawasan jambatan hingga ke muara akan dipercepatkan bagi memastikan aliran air lebih lancar.
Beliau berharap semua pihak terlibat, khususnya kontraktor dan JPS, dapat memberikan kerjasama bagi memastikan kerja yang masih berbaki diselesaikan mengikut jadual. – SABAH MEDIA



