KOTA KINABALU: Tiga lelaki yang didakwa melakukan samun berkumpulan menggunakan gunting akan mengetahui hukuman masing-masing pada 20 November ini di Mahkamah Sesyen, di sini.
Hakim Monica Linsua menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan masa mencukupi bagi menyediakan fakta kes dan dokumen berkaitan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.
Tertuduh Smith O’neil, 29, Steve Danielleo, 26, dan Haeirry Baragang, 35, mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan terhadap dua lelaki dengan melarikan barangan peribadi mereka, iaitu wang tunai dan dua telefon bimbit, di tepi Jalan Berungis, Tuaran, kira-kira jam 12.50 tengah malam pada 26 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan bersama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan masing-masing.
Hakim turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Semua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.



