Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Cadangan memperkenalkan kadar tambang penerbangan khas untuk belia Sabah menjadi antara lima usul utama yang dibawa ke Majlis Perundingan Belia Sabah bagi mengurangkan beban kos perjalanan golongan muda ke Semenanjung.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kos tambang penerbangan yang tinggi menjadi antara kekangan kepada belia Sabah untuk bergerak ke Semenanjung bagi menyertai program, aktiviti dan urusan rasmi.
Katanya, golongan belia memerlukan kadar tambang lebih istimewa supaya peluang untuk menyertai pelbagai program di peringkat nasional tidak terjejas disebabkan faktor kewangan.

“Belia-belia Sabah memohon dan mengusulkan agar ada tambang yang istimewa untuk mereka supaya ia tidak membebankan pergerakan ke Semenanjung dari Kota Kinabalu.
“Ini kerana terdapat aktiviti, program dan urusan rasmi yang memerlukan mobilisasi golongan muda ke Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Sabah di sini, pada Selasa.
Nizam berkata, cadangan berkenaan adalah antara lima usul yang dibentangkan dan dipersetujui untuk diangkat kepada Majlis Perundingan Belia Negara bagi mendapatkan pertimbangan lanjut.
Empat lagi usul merangkumi usaha memperkukuh pendidikan, kesihatan, keselamatan diri dan pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia, pembangunan hab keusahawanan digital serta agropreneur belia.
Turut dicadangkan ialah penyelarasan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan serta kesesuaian lokaliti setiap daerah, selain memperluaskan bantuan yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).
Nizam berkata, semua usul itu mencerminkan keperluan sebenar golongan muda di Sabah yang memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya.
Katanya, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Tan Sri Dr. Johari untuk pertimbangan di peringkat lebih tinggi.
Beliau berharap cadangan itu dapat diberikan perhatian serius dan direalisasikan bagi memastikan kebajikan serta peluang pembangunan belia Sabah terus diperkasakan. – SABAH MEDIA



