TUARAN: Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperkukuh kedudukan Mahkamah Anak Negeri (MAN) menerusi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kelulusan itu merupakan detik bersejarah yang menamatkan penantian sekian lama kerajaan negeri untuk memartabatkan dan memperkasakan sistem perundangan adat anak negeri.
Beliau berkata, usaha memperkukuh MAN bertujuan memodenkan sistem perundangan tradisional Bumiputera agar kekal berkesan, relevan dan berwibawa seiring dengan perkembangan semasa.
“Usaha ini juga bagi memastikan bidang kuasanya lebih jelas dan teratur, selain berupaya memelihara serta memartabatkan undang-undang adat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran, di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata, beberapa pembaharuan utama diperkenalkan menerusi enakmen baharu itu, termasuk penstrukturan semula sistem kehakiman yang lebih mantap, komprehensif dan profesional.
Katanya, struktur mahkamah akan merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri, selain pewujudan jawatan Ketua Hakim dan Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri serta Peguam Mahkamah Anak Negeri dan Pendaftar.
“Pelantikan hakim kini dirancang berasaskan merit bagi memastikan tahap integriti dan kewibawaan yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, pembaharuan itu turut melibatkan pemisahan fungsi yang lebih jelas antara pentadbiran dan urusan adat dengan fungsi kehakiman.
Bagaimanapun, peranan tradisi pegawai adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri akan terus dipelihara bagi memastikan akar adat masyarakat Sabah kekal terpelihara.
Hajiji berkata, seiring transformasi sistem perundangan itu, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan fizikal institusi berkenaan, termasuk cadangan menaik taraf Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah serta membina mahkamah baharu di beberapa daerah.
Katanya, usaha itu penting bagi menyokong struktur institusi yang lebih mantap dan meningkatkan keupayaan MAN dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Beliau berkata, pemerkasaan berkenaan bukan sahaja meningkatkan imej institusi adat, malah menjadi langkah penting dalam meletakkan Undang-Undang Adat Anak Negeri pada kedudukan lebih dihormati dan setaraf dalam sistem perundangan negara.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan agenda perjuangan kerajaan GRS tidak pernah terhad kepada pembangunan fizikal dan material semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap usaha memelihara jati diri, khazanah budaya serta institusi perundangan adat negeri ini.
“Sabah adalah sebuah bumi yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat resam dan keunikan anak negeri. Oleh itu, memelihara maruah dan kedaulatan undang-undang adat adalah tanggungjawab besar yang dipikul oleh kerajaan hari ini,” katanya.



