KOTA KINABALU: Seramai 18 pemain muda berbakat bakal dipilih untuk mewakili Sabah ke Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan (LRK) yang dijadualkan berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang, bermula 27 November hingga 7 Disember ini.
Pemilihan pemain itu dibuat menerusi Kejohanan Bola Sepak Rhinos Cup 2026 Edisi Pertama yang dianjurkan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA).
Naib Presiden IV SAFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA, Rafie Robert berkata, kejohanan itu mempertandingkan dua kategori umur, iaitu Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 15 Tahun (U15), dengan penyertaan 20 Persatuan Bola Sepak Daerah (PBD) dari seluruh Sabah.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan julung kali itu merupakan antara inisiatif penting SAFA dalam memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi, khususnya bagi mengenal pasti, mencungkil dan menggilap bakat pemain muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Melalui kejohanan ini, seramai 18 pemain berbakat akan dipilih untuk mewakili Sabah ke Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan (LRK) yang dijadualkan berlangsung pada 27 November hingga 7 Disember 2026 di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pembangunan bola sepak negeri tidak seharusnya bergantung kepada penganjuran kejohanan semata-mata, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang, komitmen berterusan serta kerjasama erat semua pihak.
Katanya, kerjasama antara SAFA, PBD, jurulatih, ibu bapa, penaja dan komuniti bola sepak Sabah amat penting bagi memastikan pembangunan pemain muda dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berstruktur.
Beliau turut berharap sokongan semua pihak dapat diteruskan bagi memastikan pelaksanaan Sabah Football Development Program (SFDP) secara berterusan di semua peringkat.
Dalam pada itu, Rafie merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen dan kerjasama sehingga kejohanan berkenaan berjaya dilaksanakan dengan lancar.
“Penghargaan khusus turut diberikan kepada SportInk selaku penaja utama Rhinos Cup 2026 atas sokongan dan kepercayaan terhadap usaha pembangunan bola sepak generasi muda di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, Rhinos Cup bukan sekadar kejohanan bola sepak, tetapi platform penting dalam membina generasi baharu pemain Sabah yang berupaya bersaing dan menyerlah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.



