HomeUtamaGEG Sabah rakan strategik perkukuh kesiapsiagaan AI pendidik

GEG Sabah rakan strategik perkukuh kesiapsiagaan AI pendidik

Read Time:3 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Komuniti Google Educator Groups Sabah (GEG Sabah) dilihat sebagai rakan strategik penting dalam memperkukuh kompetensi digital pendidik serta meningkatkan kesiapsiagaan mereka menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Doria Tai Yun Tyng, berkata persoalan ketika ini bukan lagi sama ada AI akan menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan, sebaliknya sejauh mana warga pendidik bersedia menggunakannya secara bijak, kritikal, beretika dan bertanggungjawab.

“Guru perlu mempunyai keyakinan untuk menggunakan teknologi sebagai alat memperkaya pembelajaran. 

“Pada masa sama, murid perlu dibimbing bukan sekadar menggunakan teknologi, tetapi juga berfikir, menilai maklumat, mencipta dan membuat keputusan secara bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Idremzizan Idris (dua kiri), bersama Leader GEG Beaufort, Nurlisa Kamba, dan Leader GEG Tawau, Izyan Syahiran Izzuddin, pada sesi forum GEG Summit Sabah 2026 di IPG Kampus Gaya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gala GEG Summit Sabah 2026 di Hotel Suria 7, di sini, baru-baru ini.

Majlis itu menandakan berakhirnya GEG Summit Sabah 2026 yang berlangsung pada 7 November di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, anjuran Google Educator Groups Sabah.

Menurut Doria, inisiatif komuniti seperti GEG amat penting dalam konteks Sabah yang mempunyai landskap pendidikan merangkumi kawasan bandar, luar bandar, pedalaman dan pulau.

Katanya, perbezaan geografi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perkongsian ilmu, pembangunan kompetensi serta akses kepada peluang pembelajaran.

Beliau berkata, kejayaan transformasi digital tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah platform yang digunakan atau sijil yang diperoleh, sebaliknya melalui perubahan positif terhadap guru, sekolah dan murid.

Peserta menyelesaikan tugasan sambil belajar daripada maklumat di reruai sekitar dewan IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, pada GEG Summit Sabah 2026.

“Transformasi sebenar bukan berlaku di atas pentas. Transformasi sebenar berlaku di sekolah dan di dalam bilik darjah,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sekolah dan pendidik yang terus berusaha meningkatkan kompetensi digital serta memperoleh pensijilan Google.

Katanya, usaha berkenaan memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, institusi pendidikan, pemimpin sekolah, guru, komuniti pendidik dan rakan strategik.

GEG Summit Sabah 2026 menerima sebanyak 650 pendaftaran sebelum acara berlangsung, dengan kehadiran 550 peserta dari enam negeri dan wilayah, iaitu Sabah, Kelantan, Melaka, Sarawak, Selangor dan Putrajaya.

Mahasiswa merupakan kumpulan peserta terbesar, diikuti pelajar, guru, pensyarah serta penggiat teknologi pendidikan (EdTech).

Antara institusi yang menyertai program itu ialah IPG Kampus Gaya, IPG Kampus Kent, Cyberjaya College Kota Kinabalu, Management and Science University (MSU), ATI College, Politeknik Sandakan dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, selain wakil sekolah rendah dan menengah.

Sebanyak tujuh sesi berlangsung sepanjang program itu, termasuk Leadership Showcase oleh guru besar, Googleyness Showcase oleh guru dan pentadbir serta forum panel The Big GEG Conversation.

Selain itu, sebanyak 11 reruai dikendalikan GEG negeri dan daerah dengan mengetengahkan pelbagai tema, antaranya pengalaman AI, analitik data, penghasilan kandungan kreatif dan pensijilan Google.

Majlis gala pula menghimpunkan lebih 200 tetamu melibatkan 22 meja yang mewakili 15 daerah, termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Keningau, Semporna dan Tenom.

Antara yang hadir ialah lebih 30 guru besar dan pengetua, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah, wakil Google for Education serta tetamu dari Brunei.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian 29 anugerah penghargaan kepada pendidik dan pemimpin GEG dalam enam kategori, selain enam penghargaan kepada rakan kerjasama.

Seramai lapan penerima menerima GEG Distinguished Impact Leadership Award, iaitu Dr Nancy Ng Yut Kuan dan Aishah Mohd Aris (GEG Beluran), Fatmah Wati Abd Moes (GEG Tawau), Nadzirah Awang Damit (GEG Tuaran), M. Sarip Hakim dan Azlan Dasran (GEG Kinabatangan), Hallsen Justin (GEG Ranau) serta Sylvester Philip (GEG Sabah).

Anugerah lain yang disampaikan ialah GEG Leadership Award kepada sembilan penerima, GEG Professional Excellence Award (lapan penerima) dan GEG Mentorship Award (dua penerima).

GEG Technology Award yang pemilihan penerimanya dibuat bersama Google Partner dan Google for Education diberikan kepada Leader GEG Sabah, Ts. Mohd Idremzizan Idris.

Sementara itu, GEG Educational Transformation Award diterima GEG Kota Kinabalu yang diketuai Hamidah Ab. Wahab bersama semua ketua bersama (co-leader) dan kapten kumpulannya (captain).

Enam penghargaan rakan kerjasama pula diberikan kepada De Learn Technology Google Partner, GEG Brunei, GEG Kuala Krai, GEG Pasir Mas, GEG Kota Bharu dan GEG Paya Rumput.

Sementara itu, Leader GEG Sabah, Ts. Mohd Idremzizan Idris, berkata penganjuran sidang kemuncak itu membuktikan kesediaan pendidik Sabah untuk terus belajar dan berkongsi ilmu tanpa mengira daerah.

“GEG Sabah akan terus memperluas jaringan ini supaya lebih ramai guru dan sekolah mendapat manfaat,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pembelajaran Digital, Pusat Kecemerlangan Akademik, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Rohaida Abdul Manap serta Ketua Unit Khidmat Pengurusan IPG Kampus Gaya, Nick Vrynner Liah, yang mewakili Timbalan Pengarah institut berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Delegasi Sabah teroka pasaran Greater Bay Area

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular