KOTA KINABALU: Hungary merancang mengadakan ekspedisi saintifik ke Sabah tahun depan bagi meneroka potensi penyelidikan serta memperkukuh kerjasama dalam bidang sains dan warisan budaya antara kedua-dua pihak.
Perkara itu dimaklumkan Duta Besar Hungary ke Malaysia, TYT Dr Sándor Sipos ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Sándor berkata, ekspedisi berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama saintis dan universiti dari Hungary serta Malaysia, selain bertujuan memperingati sumbangan saintis Hungary, Franz Xaver Witti, yang pernah menjalankan ekspedisi di Sabah pada abad ke-19.
Menurutnya, ekspedisi itu juga akan diakhiri dengan penerbitan sebuah buku yang mendokumentasikan Sabah serta sumbangan Witti dalam sejarah negeri ini.

Beliau berkata, hubungan sejarah Hungary dengan Sabah turut dapat dilihat menerusi penamaan beberapa lokasi geografi sempena tokoh Hungary, antaranya Banjaran Witti di kawasan Sandakan dan Bukit Andrassy di Tawau.
Sementara itu, Hajiji mengalu-alukan kunjungan berkenaan dan berharap hubungan persahabatan antara Hungary dengan Sabah dapat terus diperkukuh menerusi penerokaan potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, kerjasama itu berpotensi diperluas merangkumi pendidikan, pertanian, teknologi hijau, penyelidikan biodiversiti, teknologi perubatan, kebudayaan dan pelancongan.
Katanya, pertukaran kepakaran, teknologi dan pengalaman antara kedua-dua pihak mampu menyokong pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Dalam bidang pendidikan, Hajiji berharap lebih ramai anak Sabah mendapat peluang melanjutkan pengajian di Hungary menerusi tawaran 40 biasiswa setiap tahun oleh kerajaan negara itu kepada pelajar Malaysia, termasuk dari Sabah, di bawah program Stipendium Hungaricum.
Program berkenaan menawarkan peluang pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Sándor turut menyatakan komitmen untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan di Hungary dengan mengambil kira keunikan biodiversiti dan warisan budaya negeri ini.
Beliau berkata, selain 40 tawaran biasiswa kepada belia Malaysia dalam pelbagai bidang, kerajaan Hungary turut menyediakan lebih 600 kursus bahasa Inggeris.
Sebelum ini, Sándor turut mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada 30 Jun lalu bagi memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama pembangunan strategik antara Hungary dengan Sabah.
Pada 30 Mei lalu, beliau turut mengadakan kunjungan kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pemodenan sektor pertanian, penyelidikan, inovasi dan pembangunan pertanian mampan.



