HomeUtamaAl-Quran bukan sekadar dihafaz, tetapi perlu dihayati dan diamalkan - Arif

Al-Quran bukan sekadar dihafaz, tetapi perlu dihayati dan diamalkan – Arif

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Pendidikan al-Quran bukan sekadar melahirkan pelajar yang mampu menghafaz ayat suci, sebaliknya turut membentuk generasi berakhlak mulia, berdisiplin dan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran, berkata kejayaan seseorang pelajar tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu diseimbangkan dengan kekuatan iman dan kemuliaan akhlak.

Menurutnya, kejayaan menamatkan hafazan al-Quran merupakan pencapaian besar yang menuntut kesungguhan, kesabaran dan disiplin tinggi, namun ia bukanlah pengakhiran perjalanan seseorang bersama kitab suci itu.

Sebaliknya, beliau berkata, pelajar perlu terus menjaga hafazan, memahami kandungannya serta mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan dan hafazan al-Quran, tetapi turut mengamalkan nilai-nilai al-Quran dalam tutur kata, tingkah laku dan pergaulan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Kali Ke-17 dan Khatam Hafazan al-Quran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu, di sini pada Jumaat.

Arif berkata, pendidikan akademik dan agama perlu bergerak seiring bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah mempunyai pegangan agama yang kukuh dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.

“Kalau kita lihat zaman sekarang, kedua-duanya diperlukan, iaitu akademik dan agama yang berlandaskan al-Quran sebagai panduan kepada generasi muda.

“Cabaran dunia sekarang memerlukan kekuatan agama untuk mereka hadapi pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, penguasaan ilmu duniawi dan ukhrawi perlu diseimbangkan supaya generasi muda mampu membentuk sahsiah terpuji serta menjadi insan berkualiti yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha membentuk generasi berilmu dan berakhlak bukan hanya terletak di bahu pihak sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama erat ibu bapa, guru dan masyarakat.

Katanya, ibu bapa berperanan sebagai pembimbing utama anak-anak, manakala guru bertanggungjawab mendidik, membentuk pemikiran serta membimbing pelajar ke arah masa depan lebih baik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbir dan guru SMK Agama Kota Kinabalu atas komitmen serta pengorbanan dalam memastikan pelajar mendapat pendidikan terbaik.

Arif berharap pelajar yang diraikan akan terus menjadikan al-Quran sebagai teman sepanjang hayat, bukan sekadar hafazan yang diraikan ketika majlis graduasi.

“Jadikan al-Quran sebagai sahabat sepanjang hayat, bukan sekadar hafazan untuk diraikan pada hari graduasi. Jadilah generasi yang berjaya di dunia dan berbahagia di akhirat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Petani dipenjara 35 tahun, 12 sebat bunuh bapa saudara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular