LABUAN: Sebuah pasar mini di bandar Labuan dikesan menjual minyak masak sawit tulen kemasan botol satu kilogram (kg) pada harga RM8.20, melebihi harga maksimum RM6.90 yang ditetapkan kerajaan.
Kesalahan disyaki itu dikesan menerusi pembelian uji beli oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, malam Khamis lalu.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata pemeriksaan dijalankan susulan aduan pengguna berhubung harga barangan yang dijual di premis berkenaan.
“Hasil pembelian uji beli mendapati minyak masak berkenaan dijual pada harga RM8.20 seunit, iaitu RM1.30 lebih tinggi daripada harga maksimum RM6.90,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Susulan itu, KPDN menyita barangan terbabit bersama bukti transaksi pembelian uji beli dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM82.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana disyaki menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000.
Junaidah berkata, KPDN Labuan akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.
Beliau turut mengingatkan pengguna supaya peka terhadap harga barangan dan menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mengesan penjualan barangan kawalan melebihi harga maksimum.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KPDN dengan menyertakan maklumat premis, jenis barangan, harga jualan dan bukti transaksi, jika ada.




