HomeUtamaPengusaha pelancongan Semporna diingat utamakan keselamatan pengunjung

Pengusaha pelancongan Semporna diingat utamakan keselamatan pengunjung

Read Time:2 Minute, 34 Second

SEMPORNA : Pengusaha pelancongan dan pusat selam skuba di Semporna diingatkan supaya tidak berkompromi dalam aspek keselamatan pengunjung, khususnya ketika menjalankan aktiviti rekreasi air yang berisiko tinggi.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Josie Lai berkata, keselamatan perlu menjadi keutamaan semua penggiat industri memandangkan Semporna merupakan destinasi rekreasi dan selam skuba yang terkenal di peringkat dunia.

Katanya, sebarang insiden keselamatan di kawasan perairan bukan sahaja boleh mengancam nyawa, malah berpotensi menjejaskan imej dan reputasi pelancongan Sabah di peringkat antarabangsa.

“Keselamatan bukan satu pilihan, sebaliknya keperluan asas bagi memastikan kelestarian industri pelancongan di negara dan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Program Taklimat Keselamatan untuk Pengusaha Pusat Selam Skuba di Semporna yang berlangsung di sebuah hotel di sini,

Ucapan beliau disampaikan Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS, Nekma Abdullah.

Josie berkata, KePKAS bersama agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain komited memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan, selain menambah baik garis panduan keselamatan bagi melindungi pelancong dan penggiat industri.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Semporna, Abdullah Harun berkata, keadaan cuaca buruk, kegagalan menggunakan jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti air serta sikap memandang ringan kedalaman air antara faktor yang boleh mengakibatkan kemalangan maut.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun turut mengingatkan pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong supaya memastikan tahap kesihatan pengunjung diperiksa sebelum menyertai aktiviti air.

Katanya, pengusaha juga perlu mengambil serius amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan tidak menggalakkan aktiviti berenang ketika hujan lebat atau ribut.

Dalam pada itu, Penasihat Perubatan Persatuan Kebajikan Penyelam Kota Kinabalu (PKSP), Kolonel (Dr) Eugene Tan Choon Li berkata, individu yang mempunyai penyakit jantung, paru-paru, gangguan sistem saraf serta diabetes perlu mendapatkan nasihat perubatan sebelum melakukan aktiviti selam skuba.

Beliau turut menasihatkan wanita hamil supaya mengelakkan aktiviti menyelam, manakala tempoh pemulihan selepas bersalin perlu diberikan perhatian sebelum seseorang wanita kembali melakukan aktiviti berkenaan.

Katanya, wanita yang bersalin secara normal boleh mempertimbangkan untuk kembali menyelam selepas sebulan, manakala mereka yang menjalani pembedahan Caesarean perlu menunggu sehingga dua bulan bagi membolehkan luka sembuh sepenuhnya.

Pakar perubatan dalaman di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu itu berkata demikian ketika berkongsi aspek kesihatan dan keselamatan berkaitan aktiviti menyelam dalam program berkenaan.

Penasihat Teknikal PKSP, Pegawai Waran I Almudi Eskal pula menegaskan kepentingan setiap pengusaha pusat selam skuba menyediakan kit oksigen kecemasan sebagai kelengkapan asas bagi menghadapi insiden ketika aktiviti air.

Menurutnya, bekalan oksigen kecemasan berpotensi menyelamatkan nyawa sementara mangsa mendapatkan rawatan perubatan lanjut.

Beliau berkata, kemudahan kebuk hiperbarik yang terhad, dengan kira-kira tiga unit bernilai jutaan ringgit di pangkalan tentera laut Sepanggar, Semporna dan Sandakan, memerlukan pengurusan kecemasan dilakukan dengan pantas.

Katanya, mangsa kecemasan berkaitan aktiviti menyelam perlu dibawa ke hospital terdekat secepat mungkin sebelum dirujuk ke kemudahan kebuk hiperbarik untuk rawatan lanjut.

Program anjuran bersama PKSP itu disertai kira-kira 80 peserta dan menampilkan tiga penceramah.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, Pengerusi PKSP, Sim Fui serta wakil agensi kerajaan.

PKSP yang sebelum ini dikenali sebagai Sabah Dive Squad Club turut menganjurkan program taklimat keselamatan seumpama itu di Kota Kinabalu tahun lalu dengan penyertaan lebih 100 peserta.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis kesan lelaki bantu siasatan kes bunuh di Sulaman Sentral

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular